Sejauh manakah Barisan Nasional mampu merampas kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)?

Jika dilihat pada keputusan dua PRU sebelum ini, ternyata pihak pembangkang, terutamanya DAP dan PKR mendominasi saingan politik di 11 kerusi ini.

Walau bagaimanapun PRU kali ini dianggap berbeza memandangkan penyertaan Pas di arena politik Kuala Lumpur mengakibatkan pertembungan tiga penjuru di tujuh kerusi.

Kerusi-kerusi tersebut adalah Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa, Titiwangsa, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak.

Selain itu, penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menghantar Ketua Srikandi Rina Harun untuk bertanding di Titiwangsa memberi dinamik baharu kepada politik di Kuala Lumpur ini.


Ternyata kempen di Kuala Lumpur sepanjang 11 hari sebelum ini boleh disifatkan sebagai 'sihat' tanpa kekecohan atau ketegangan antara penyokong-penyokong parti yang bertanding.

Siri-siri ceramah yang dianjurkan parti-parti terlibat turut memberi gambaran calon mana yang bakal dipangkah di kertas undi pada 9 Mei.

Turut mendapat perhatian ketika tempoh berkempen adalah pertembungan politik di Parlimen Batu yang menyaksikan tiada wakil dari Pakatan Harapan selepas pencalonan penyandang kerusi tersebut, Tian Chua ditolak ketika hari penamaan calon.

Susulan itu, Pakatan Harapan dilihat memberi sokongan kepada calon bebas P. Prabakaran yang juga merupakan calon termuda dalam PRU14 iaitu 22 tahun.

Perkembangan ini menjadikan persaingan empat penjuru di Batu nampak menarik walaupun dengan ketiadaan Pakatan Harapan.


Apabila ditemui, ternyata ramai dalam kalangan pengundi sudah membuat keputusan sebelum hari pengundian tiba.

Shafie Wahi, seorang pekerja sektor awam di Kuala Lumpur, berkata keputusan parti mana yang akan disokong sudah dibuat lama, malah sebelum tempoh kempen bermula.

"Kami sudah lama tinggal di sini dan cukup faham apa yang diperlukan rakyat.

"Memang ada juga mengikut siri kempen tetapi sebenarnya sudah ada di fikiran parti mana yang akan disokong," katanya.

Pandangan pengundi seperti Shafie turut dikongsi ramai pengundi lain dalam kalangan hampir 850,000 pengundi di Kuala Lumpur ini.

Malah, berdasarkan pola undian yang dibuat, lebih 70 peratus pengundi di Kuala Lumpur sudah membuat keputusan siapa untuk diundi.

Baki 30 peratus terbahagi kepada golongan yang ingin melihat saat-saat akhir kempen, malah ada juga yang ingin menunggu sehingga tiba di hadapan kertas undi sebelum membuat keputusan.

Pengarah Kaji selidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Dr Hamidin Hamid berkata antara isu yang menjadi keutamaan bagi pengundi Kuala Lumpur adalah kehidupan harian.

"Kehidupan harian di sini tidak hanya bermaksud isu berkaitan kos sara hidup tetapi juga isu-isu kemudahan setempat seperti lif rosak dan sebagainya.

"Sudah tentu dari segi demografi, isu-isu ini merupakan keutamaan bagi mereka yang berpendapatan B40.

"Untuk golongan pertengahan dan ke atas, mereka lebih memandang isu-isu nasional seperti integriti dan juga tadbir urus," kata Dr Hamidin.

Namun, beliau menegaskan bahawa isu-isu nasional turut mendapat perhatian golongan B40 kerana tahap pendedahan bagi penduduk Kuala Lumpur.

"Walaupun dilihat golongan ini mengutamakan isu-isu kehidupan harian namun mereka juga sedar dan memahami isu-isu di peringkat nasional kerana mereka sering terdedah kepada informasi dari pelbagai sumber," jelasnya.

Apabila ditanya mengenai peluang Barisan Nasional di kerusi-kerusi Kuala Lumpur, Dr Hamidin berkata parti tersebut mempunyai peluang untuk merampas semula beberapa kerusi seperti di Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak serta mengekalkan kerusi sedia ada.

"Jika dilihat di kerusi Lembah Pantai, calon yang diketengahkan Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin sudah lama bekerja di kawasan tersebut walaupun tewas pada PRU lepas.

"Jadi, apa yang saya boleh katakan adalah BN mempunyai peluang, cerah atau tidak ia terpulang kepada pengundi," katanya.

Jika dilihat berdasarkan sentimen sedia ada di Kuala Lumpur ini, tiada kepastian parti mana yang bakal mendominasi saingan politik di sini.