Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendapat pencalonan pertamanya hari ini untuk mengekalkan jawatan nombor satu parti Islam itu selepas undian dilakukan.

Abdul Hadi mengatasi Ahmad Awang dalam undian yang diadakan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Shah Alam dengan memperolehi 78 undi, mengatasi pencabarnya dengan hanya enam undi.

Banyak pihak meramalkan, Pas Shah Alam akan mencalonkan tokoh lain untuk jawatan Presiden Pas sebagai signal kepada Abdul Hadi supaya mengosongkan jawatan tersebut.

Bagi jawatan timbalan presiden, Pas Shah Alam mencalonkan Mohamad Sabu untuk mengekalkan jawatan yang disandangnya manakala ketiga-tiga Naib Presiden sedia ada juga dicalonkan kekal pada jawatan yang sama.

Setakat ini, empat kawasan sudah mengadakan AGM masing-masing dimana, Pas Kota Bharu mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk jawatan presiden, Pas Kota Tinggi menamakan Datuk Husam Musa manakala Pas Parit Sulong menyerahkan kepada jawatankuasa yang dipilih untuk menentukan calon bagi jawatan presiden.

Difahamkan Pas Parit Sulong akan menamakan calon lain selain Abdul Hadi untuk jawatan presiden.

Beberapa kawasan di Sabah juga dikatakan akan menamakan calon lain untuk jawatan Presiden Pas.