Isu calon mengisthiyarkan harta sebelum memasuki 'gelanggang' Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dilihat wajar dan tepat.

Ini bagi membolehkan imej setiap pemimpin politik itu bebas daripada sebarang kontroversi melibatkan skandal wang dan sebagainya.

Bagi pengusaha kereta sewa, Mohd Ehsan Matussin dari Putatan ketika ditemui berkata, sudah sampai waktunya proses demokrasi negara dan negeri ini menjadi cerminan kepada daya pimpinan lebih berintegriti serta lebih penting, bebas daripada elemen rasuah.

"Sudah sampai masanya bakal pemimpin dan calon yang mahu bertanding ini menampilkan integriti mereka dengan istyhar harta supaya rakyat dapat menilai mereka ini bebas daripada skandal wang atau sebagainya.

"Bagi saya ia adalah perkara yang baik," katanya.

Sependapat dengan Mohd Ehsan, usahawan tempatan, Mohd Lazrein Mohd Ibrahim pula berpandangan dengan imej bebas seseorang pemimpin itu, rakyat akan lebih mempercayai mereka untuk menggalas keupayaan mentabdir kawasan ditandingi dalam PRN nanti.

"Bagi pendapat saya, terutamanya calon-calon yang mahu bertanding dalam PRN ini, mereka perlu mengumumkan harta benda mereka supaya imej mereka lebih bersih.

"Malah tanggapan rakyat terhadap mereka juga bersih dan kita boleh percaya mereka ini bersedia memimpin tanpa ada sebarang kontroversi wang dan sebagainya," katanya.

Astro AWANI

BACA: LAPOR LANGSUNG: Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan

Sementara itu, Astro AWANI hari ini turut mendapatkan reaksi beberapa pemimpin daripada parti-parti di Sabah di mana rata-rata di kalangan mereka dilihat bersetuju kewajaran seseorang calon itu mengisytiharkan harta kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Parlimen Kalabakan dari Parti Warisan Sabah (Warisan), Mamun Sulaiman dalam pesanan teks melalui aplikasi WhatsApp, beliau melihat perkara itu mampu memperlihatkan elemen telus kepada calon akan bertanding.

Manakala bagi Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Khairul Firdaus Akhbar pula berpendapat, dengan adanya kesediaan berkenaan, ahli politik dapat menunjukkan komitmen mereka kepada mewujudkan persekitaran bebas rasuah.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putatan, Mohd Reduan Aklee dalam masa yang sama turut bersetuju perkara itu dimana ia membolehkan rakyat mengambil maklum keperibadian setiap calon bertanding pada PRN Sabah nanti.

Ketua Penerangan UPKO, Albert Bingkasan dalam pandangannya memaklumkan kepada SPRM adalah salah satu cara untuk rakyat lebih mengetahui siapa calon itu, namun, ia bukan tertakluk kepada mana-mana undang-undang.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP, Ginger Phoong Jin Zhe, 30 tahun turut berpendapat secara peribadi tidak mempunyai masalah isytiharkan harta kepada SPRM dengan ia sememangnya sebahagian dalam perjuangan beliau untuk wujudkan politik yang baru, bersih, integriti dan telus.