IPOH:Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad menafikan laporan yang mendakwa kononnya beliau menerima cukup sokongan untuk dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, sokongan yang kononnya diperolehi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas, PKR dan DAP itu tidak pernah berlaku sama sekali.

Menurut Saarani, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah menerima baik titah Yang Di-Pertuan Agong untuk memberi perhatian kepada usaha membasmi wabak COVID-19 dan mengurangkan 'politicking'.

“Lebih baik semua daripada apa parti pun sekarang... kita hanya tumpu kepada usaha untuk membantu menangani, menghalang masalah COVID-19 ini dan pada waktu yang sama kita kena tumpu untuk membangunkan ekonomi.

“Cerita itu (laporan) tidak ada, tiada siapa jumpa saya, tiada siapa tawarkan kepada saya, tiada siapa menghasut saya... jadi kita bertegas di sini, lebih-lebih lagi telah ada titah daripada Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal tempatan yang mendakwa Perak bakal menyaksikan pertukaran Menteri Besar dalam tempoh terdekat sekiranya hubungan kurang baik Ahmad Faizal dengan Pengerusi UMNO Perak tidak dapat dipulihkan.

Laporan yang memetik sumber dalaman UMNO itu mendakwa Saarani telah mempunyai cukup sokongan untuk menjatuhkan Ahmad Faizal menerusi ADUN Pas yang mempunyai tiga kerusi selain empat wakil rakyat PKR dan DAP.

Mengulas lanjut, Saarani yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Perak berkata, dakwaan serta khabar angin sedemikian tidak akan menjejaskan hubungan antara parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

Malah, katanya setiap kali mesyuarat berlangsung, mereka memberi perhatian kepada usaha kerajaan negeri untuk membantu rakyat.

"Jika berlaku pertukaran juga, itu bukan kerja kita. Saya tak terlibat dengan perkara itu, saya tegaskan bahawa di Perak kita akur dan beri perhatian kepada usaha membangunkan negeri," ujarnya.