Sebaliknya menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, ia adalah inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Kampung Baru Cina, termasuk menaik taraf kemudahan seperti jalan dan longkang.
"Merujuk kepada satu klip video memaparkan kenyataan seorang aktivis NGO yang mengeluarkan kenyataan berbaur pembohongan kononnya Kerajaan Perak tahun lalu telah meluluskan RM30 juta bagi tujuan pembangunan Kampung Baru Cina.
"Lebih teruk apabila aktivis berkenaan ketika berkongsi pentas bersama pimpinan parti politik pembangkang, mereka-reka cerita kononnya Kerajaan Perak meluluskan peruntukan tersebut selepas menerima desakan politik.
"Kerajaan Perak tidak pernah meluluskan peruntukan seperti didakwa, sebaliknya ia adalah inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Kampung Baru Cina, termasuk menaik taraf kemudahan seperti jalan dan longkang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Saarani turut meluahkan kekesalannya apabila aktivis berkenaan membuat kenyataan di pentas politik dengan sengaja mengeluarkan kenyataan terpesong sehingga mengundang salah tanggapan orang ramai terhadap kerajaan negeri.
"Paling menggusarkan apabila sebahagian netizen menelan bulat-bulat kenyataan yang dibuat sehingga melemparkan pelbagai persepsi negatif dan komen jelik lalu mengakibatkan perdebatan bermotif kaum di laman sosial.
"Untuk rekod, jika KPKT diberi tanggungjawab membangunkan infrastrukur kampung Kampung Baru Cina, kerajaan persekutuan melalui pelbagai agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pula berperanan membangunkan kemudahan kawasan luar bandar," katanya lagi.
Tambahnya, sebagai contoh pada 2023, kerajaan persekutuan membelanjakan RM2.55 bilion bagi menyediakan pelbagai kemudahan di kawasan desa termasuk pembinaan jalan baharu, bekalan air dan elektrik serta menaiktaraf jambatan dan membaik pulih jalan rosak.
Katanya lagi, kerajaan negeri mengalu-alukan wacana dan perbincangan sihat, tetapi biarlah ia dilakukan atas prinsip kebenaran.
Dan bukannya dengan membuat ulasan secara membuta tuli dengan memesong fakta atau mereka-reka cerita untuk menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.
Video yang tular baru-baru ini bertajuk 'Takut tanah dirampas, Perak lulus RM30 juta pembangunan Kampung Baru Cina' mendapat pelbagai reaksi dari orang ramai di media sosial.