KUALA LUMPUR: Rakyat sudah bosan, letih dan lesu melihat pertelingkahan kuasa menjadi perkara utama parti dan pemimpin politik negara.

Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof. Madya Hamidin Abd Hamid berkata, ia semakin parah apabila mereka juga tidak menjadikan permasalahan rakyat terutama dalam isu pandemik COVID-19 dan ekonomi sebagai keutamaan dalam masa dua tahun kebelakangan ini.

"Saya berharap episod ini pada masa sama membuka mata ahli politik supaya mereka boleh mencari titik pertemuan, berunding untuk memastikan kepentingan rakyat diletakkan di tempat paling atas.

"Jadi seharusnya mereka tidak akan memikirkan di mana kejayaan sebagai Ahli Parlimen, adakah akan kekal sebagai Ahli Kabinet atau bagaimana keuntungan laba politik daripada pergolakan ini kepada parti, adakah parti akan menjadi tunjang semula dalam membentuk kerajaan? Saya kira itu merupakan perkara terakhir yang dilihat rakyat ketika ini," katanya semasa sidang maya pada Isnin.

BACA: Pembentukan 'kerajaan rakyat' boleh selesaikan krisis dan strategi keluar daripada pandemik

BACA: 
'Ini bukan masanya berpolitik' - Abang Jo

Sebelum ini, Penganalisis Politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mazlan Ali berpendapat, pembentukan kerajaan berasaskan kepartian mungkin tidak mampu untuk menyelesaikan kemelut politik pada ketika ini.

Ujarnya, kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membentuk 'kerajaan rakyat' atau gabungan ahli politik rentas parti boleh mewujudkan solusi kepada permasalahan yang dihadapi negara pada ketika ini.

Dalam pada itu kata Hamidin, Yang di-Pertuan Agong boleh mengembalikan mandat pemilihan perdana menteri kepada Parlimen dan tidak diletakkan di Istana Negara.

Ujarnya, Parlimen akan menentukan siapa yang paling layak untuk menjadi perdana menteri dengan melihat majoriti seseorang pemimpin.

"Maknanya sudah tentu akan berlaku sedikit kekosongan, tetapi perkara itu tidak menjadi masalah sekiranya Muhyiddin dikekalkan buat sementara untuk menjadi caretaker seumpama itu, dan beliau boleh memanggil persidangan Parlimen dan ia boleh dilakukan secepat mungkin.

"Jadi dalam konteks ini saya kira ia lebih jelas dan memberikan keabsahan lebih jelas bukan sahaja kepada rakyat tetapi konsep kuasa kerana ia diputuskan di Parlimen," katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat satu pengumuman khas hari ini berkaitan kedudukannya selaku Perdana Menteri.

Pengumuman itu akan dibuat selepas beliau menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.