Beliau sebelum ini pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, namun kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) tiga tahun lalu.
Melalui kenyataannya di media sosial Facebook, Uncle Kentang berkata, pengundi di kawasan tersebut harus mempunyai seorang wakil rakyat yang sentiasa turun padang dan mendengar masalah rakyat.
"Yang ada undi di tangan anda di P103. Setelah sahabat sahabat kita di dinggalkan, kita bangkit semula.
Kita muram, kita merajuk, kita mengalah kerana bukan sahabat kita jadi calon. Bukan orang tempatan jadi calon. Bukan mereka yang telah berkhidmat jadi calon," ujar beliau di laman sosial Facebooknya.
Malah, beliau berjanji akan berada di mana-mana sahaja, asalkan masalah rakyat dapat diselesaikan.
"Jangan resah dan gusar. Kita masih ada seorang apek Cina yang boleh dipangkah. Seorang yang kamu boleh jumpa setiap hari di kedai mamak, di pejabat, di rumah, di pasar malam, pasar pagi, di hospital, di tepi jalan ketika anak kita terbaring berlumuran darah semasa kemalangan jalan raya, ketika kau susah dan tiada duit untuk beli makan," ujarnya lagi.
Justeru, Uncle Kentang mengajak pengundi memilih calon wakil rakyat mereka yang benar-benar senang ditemui dan bukan hanya pada kempen pilihan raya sahaja.
"Maka itu terpulanglah pada anda, saya bukan orang elit, saya orang biasa, mudah dijumpa, bukan 5 tahun sekali baru muncul, mudah dijumpa di mana-mana untuk mendengar masalah kamu," katanya lagi.
Kerusi Puchong sebelum ini disandang oleh Gobind Singh Deo (DAP) selama tiga penggal selepas menang pada 2008, 2013 dan 2018.
Pada 2018, Gobind memperoleh majoriti 47, 635 undi menewaskan Ang Chin Tat (Gerakan) dan Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan (Pas).
DAP bagaimanapun mengumumkan Gobind sebagai calon Parlimen Damansara mewakili Pakatan Harapan (PH) menggantikan penyandang, Tony Pua, yang tidak bertanding pada PRU15.
Parti itu meletakkan bekas Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar ketika pentadbiran PH, Yeo Bee Yin di kerusi Puchong.