PADANG SERAI : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Umum  P017 Parlimen Padang Serai pada 7 Disember depan, susulan kematian calon PKR, Karupaiya Mutusami tiga hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dengan ini, Pengerusi SPR,Tan Sri Abdul Ghani Salleh memberitahu,  tiada pengundian dijalankan di Parlimen Padang Serai pada esok.

Menurutnya, penamaan calon pula ditetapkan pada 24 November ini manakala tarikh mengundi awal pada 3 Disember.

"Tempoh berkempen ditetapkan selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 November sehingga pukul 11.59 malam, 6 Disember ini (Selasa)," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Abdul Ghani turut memaklumkan, permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara akan dibuka secara dalam talian dari 18 November hingga 22 November ini.

Katanya, ketetapan itu dibuat pada Mesyuarat Khas pada Jumaat yang memutuskan bahawa satu PRU Ke-15  Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai perlu diadakan semula.

Beliau memberitahu, pada hari penamaan calon, calon-calon yang layak yang sah dinamakan sebelum ini perlu hadir ke pusat penamaan calon bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan giliran pada kertas undi.

"Sementara itu, bakal calon baharu yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai, hendaklah menyerahkan kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak oleh pejabat pegawai pengurus oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa proses penamaan di pusat penamaan calon yang ditetapkan SPR," katanya.

Menurutnya, SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses-proses pilihan raya menerusi live streaming bagi pusat atau saluran mengundi yang terpilih di laman Facebook SPR sebagaimana yang
dilaksanakan pada pilihan raya sebelum ini.

Beliau memberitahu, seramai 2,468 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses pengundian dengan 46 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 230 tempat mengundi serta saluran dan satu satu pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi dua tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan.

"Jadi keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 47 buah dengan 232 tempat mengundi atau saluran," jelasnya.

Tambah Abdul Ghani lagi, perjalanan pilihan raya ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM 1.6 juta.

Beliau memberitahu, daftar pemilih pilihan raya yang akan digunakan untuk PRU Ke-15  Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai adalah daftar pemilih terkini sehingga daftar pemilih tambahan
Ogos lalu yang dikemaskini sehingga 9 Oktober lalu.

"Parlimen Padang Serai mempunyai 133,867 pemilih termasuk 133,776 daripadanya adalah pengundi biasa, 76 orang polis dan 15 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian termasuk mengenai pusat, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak mulai  23 November depan.

Karupayia yang juga penyandang kerusi Parlimen Padang Serai meninggal dunia Rabu lalu akibat komplikasi jantung di Hospital Kulim di sini. 

Pada PRU15 ini, mendiang sepatutnya menyaksikan persaingan enam penjuru dengan calon dari Barisan Nasional, Datuk Sivaraj Chandran; Hamzah Abd Rahman (Pejuang); Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional); Mohd Bakhri Hashim (Warisan); dan Amanda AK dari bebas