KLUANG: Persiapan untuk hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang akan diadakan esok berjalan lancar, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak.

Beliau berkata sebanyak 1,126 petugas digerakkan bagi membantu proses PRK berkenaan.

"Semuanya berjalan baik termasuk proses semakan borang dan dokumen berkaitan serta bekalan dakwat, selain kertas undi turut diperiksa.

"Begitu juga dengan persiapan di 20 pusat mengundi yang akan dibuka esok," katanya kepada Bernama selepas meninjau persediaan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini hari ini.

Sehubugan dengan itu, Ikmalrudin menyeru pengundi untuk keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka dan merancang perjalanan ke pusat mengundi ekoran cuaca diramal hujan pada petang esok.

Pengundi juga diingatkan untuk membawa kad pengenalan dan menyemak maklumat awal seperti pusat mengundi dan saluran mengundi bagi melancarkan proses pengundian.

Berhubung perjalanan kempen, Ikmalrudin berkata proses itu berjalan lancar dengan semua pihak memberi kerjasama kepada SPR.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dengan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.

DUN Mahkota yang terletak di dalam Parlimen Kluang memiliki keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar, dengan 61,397 daripadanya akan melaksanakan tanggungjawab itu esok.

-- BERNAMA