KUALA LUMPUR: Keputusan Pas memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai sekutu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak bermakna parti itu bermusuh dengan UMNO.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, atas prinsip penyatuan ummah, Pas tidak sesekali mengisytiharkan UMNO sebagai musuh.

"Saya tidak anggap begitu, kalau perhatikan betul-betul kenyataan daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (pun) tidak ada (kata bermusuh). Sebab apabila kita menyatakan penyatuan ummah, kita tidak boleh bermusuh (dengan UMNO) walaupun tidak berkawan.

"Maksudnya, kalau tidak boleh berkawan jangan isytiharkan sebagai musuh. Itu tidak boleh, katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Pendakian 121 Puncak sempena sambutan ulang tahun Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli memberitahu, sehingga kini Pas sedia bekerjasama dan sentiasa terbuka untuk mengadakan rundingan dengan UMNO.

"Ya kami (Pas) sentiasa terbuka untuk mengadakan rundingan bila-bila masa," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, penyandang kerusi Parlimen Kota Bahru, Kelantan itu mengakui sedia mempertahankan kerusinya sekiranya dicalonkan lagi.

Bagaimanapun, kata beliau, ketika ini partinya itu belum memuktamadkan lagi senarai calon untuk PRU15.