KOTA BHARU: Setiausaha Agong Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menafikan khabar angin mendakwa Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah bertanding di Parlimen Pengkalan Chepa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Takiyuddin dalam pesanan ringkasnya semalam menafikan Mohd Amar berpindah kerusi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) ke Parlimen.

Bahkan, Mohd Amar yang turut dihubungi juga memaklumkan beliau tidak mengetahui kedudukannya dan menyerahkan kepada presiden Pas, Tan Sri Abdu Hadi Awang untuk membuat keputusan.

"Saya tidak tahu, semua serah kepada Presiden untuk buat keputusan," jawabnya ringkas.

Sebelum ini ada khabar angin menyatakan Naib Presiden Pas itu akan berpindah dari kerusi DUN ke kerusi Parlimen.

Mohd Amar menyandangkan kerusi DUN Panchor bawah Parlimen Pengkalan Chepa sejak sekian lama dan merupakan antara kubu kuat Pas sejak dari zaman Allahyarham ayahnya, seorang tokoh agama.


Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, anak Allahyarham bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Mohamad Abduh hampir pasti tidak dicalonkan dikerusi yang disandangnya, Parlimen Bachok.


Dari senarai yang tular sejak beberapa hari lalu, nama Nik Mohamad Abduh tidak tersenarai di Parlimen yang diwakilinya sebelum ini.

Selain itu, nama penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi juga tidak tersenarai di kerusi berkenaan sebaliknya digantikan dengan nama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Idris Ahmad.


Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat pada sidang medianya semalam turut memaklumkan, dari 14 kerusi Parlimen Kelantan, lima darinya diperuntukkan kepada Bersatu.

Dalam senarai nama calon PN Kelantan yang tular itu turut menyenaraikan Ketua Armada
Nasional Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang bakal bertanding di kerusi parlimen Machang dan bakal ditentang pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob selain seorang lagi calon dari Pakatan Harapan.

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Krai dari Pas, Abdul Latif Abdul Rahman turut tidak tersenarai dalam senarai nama calon yang tular itu.

Bagaimana pun senarai nama calon PN Kelantan itu tidak muktamad dengan tiada pimpinan PN Kelantan yang mengesahkan mengenai senarai nama calon itu.

PN Kelantan dijangka mengumumkan nama calon mereka pada 2 November depan.