PH mengatasi pencabar terdekatnya, Barisan Nasional (BN) yang memenangi sembilan kerusi dan Perikatan Nasional (PN), dua kerusi.
Gabungan itu berjaya mengekalkan hampir kesemua kerusi Parlimen yang dimenangi ketika PRU14 yang dahulu.
Ia antara lain membabitkan Parlimen Sekijang yang diwakili Dr Zaliha Mustafa, Labis (Pang Hok Liong), Bakri (Tan Hong Pin), Ledang (Syed Ibrahim Syed Noh), Kluang (Wong Shu Qi), Segamat (R. Yuneswaran), Batu Pahat (Onn Abu Bakar) dan Kulai (Teo Nie Ching).
Di samping turut memenangi Parlimen Johor Bahru (Akmal Nasrullah Mohd Nasir), Iskandar Puteri (Liew Chin Tong), Pasir Gudang (Hassan Abdul Karim), Pulai (Datuk Seri Salahuddin Ayub), Tebrau (Jimmy Puah Wee Tse) dan Sri Gading (Aminolhuda Hassan).
Manakala Parlimen Muar turut disumbangkan Calon MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bertanding atas tiket PH.
Bagaimanapun, Parlimen Simpang Renggam memperlihatkan calon BN, Datuk Seri Hasni Mohammad berjaya merampas kerusi itu daripada penyandangnya, Maszlee Malik selaku calon PH dengan majoriti 1,821 undian.
Selain itu, BN turut berjaya mengekalkan kedudukannya di Parlimen Pengerang (Datuk Seri Azalina Othman Said), Kota Tinggi (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin), Parit Sulong (Datuk Seri Noraini Ahmad) dan Pontian (Datuk Seri Ahmad Maslan).
Selain mempertahankan parlimen Tenggara (Manndzri Nasib), Ayer Hitam (Datuk Seri Wee Ka Siong), Tanjung Piai (Datuk Seri Wee Jeck Seng) serta Sembrong (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein)
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya mengekalkan kerusi tradisinya di Parlimen Pagoh apabila menang besar dengan memperoleh majoriti sebanyak 10,007 undian mengalahkan calon BN dan PH.
Calon PN di Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas pula memenangi persaingan lima penjuru di kerusi Parlimen berkenaan, yang ditandingi BN, PH, Pejuang dan calon Bebas.
Dalam pada itu, Johor merekodkan peratus keluar mengundi sebanyak 72.66 peratus selepas semua pusat pembuangan undi ditutup jam 6 petang pada Sabtu.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Parlimen Parit Sulong menyumbang peratus keluar mengundi tertinggi dengan 76.59 peratus, diisusuli Pagoh dengan 76.07 peratus, dan Sri Gading 75.84 peratus.
Manakala Johor Bahru merekodkan peratusan keluar mengundi terendah dengan 67.34 peratus.
Secara keseluruhannya, seramai 1,884,411 penduduk telah keluar mengundi di setiap 26 Parlimen di negeri itu, pada Sabtu.