SEREMBAN: Barisan Nasional tidak menolak kemungkinan berdepan dengan undi protes di sebahagian kawasan yang ditandingi berikutan beberapa nama besar yang digugurkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bagaimanapun ia adalah lumrah yang perlu didepani setiap kali menjelang pilihan raya di pelbagai peringkat.

Bagaimanapun beliau tetap berharap beberapa tokoh besar terutamanya membabitkan UMNO mempunyai jiwa besar untuk memberikan laluan kepada calon baharu yang diumumkan dan dipersetujui oleh barisan kepimpinan BN.

“Ramai juga yang ingin lihat calon mereka diberi tempat, tapi insyAllah selepas 2 atau 3 hari biasanya dia akan reda.

“Yang penting (ialah) parti yang akan mengambil tempat dalam pilihan raya. Yang kalah ataupun menang adalah parti. Yang boleh menubuhkan kerajaan juga adalah parti,” katanya ketika ditemui media ketika hadir pada Majlis Penyerahan Watikah kepada calon-calon BN Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan, pagi tadi.

Malah katanya calon-calon yang telah disenarai pendek yang diumumkan merupakan wakil BN yang akan menggalas cabaran pada PRU15 kali ini.

Justeru katanya, fokus utama BN ketika ini adalah untuk mendapatkan semula mandat daripada rakyat untuk memegang semula tampuk pemerintahan negara.

“Jadi jangan sangat kita ‘tersangkut kaki’ walaupun ada di antara calon kegemaran kita tak dapat tempat ataupun calon-calon itu sendiri yang mempunyai cita-cita ataupun nak terus berkhidmat.

“Kepada mereka yang tidak tercalon itu berbesar hatilah, bagi peluang pula kepada pelapis-pelapis kita,” katanya lagi.

Tambahnya, ia merupakan sebahagian proses peremajaan parti BN dan calon yang dipilih mempunyai kelebihan masing-masing.

Sebelum ini beberapa nama besar yang turut melibatkan beberapa Ketua Bahagian UMNO di beberapa buah negeri digugurkan daripada senarai calon dan digantikan dengan muka baharu bagi menggalas tugas pada PRU15 kali ini.