KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Rasuah Busters menyediakan khidmat lapan buah bas bagi rakyat Malaysia untuk pulang mengundi di saat akhir.

Program Tampung Tumpang Balik Mengundi ini menyediakan khidmat bas ke 32 lokasi berlainan di seluruh Semenanjung, mensasarkan individu yang terlepas peluang untuk mendapatkan tiket pengangkutan awam dan golongan yang kurang berkemampuan.

Menurut Setiausaha Agung ABIM, Fazril Saleh, inisiatif ini bagi menggalakkan orang ramai untuk menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU15).

Setiausaha Agung ABIM, Fazril Saleh (keempat dari kiri) bersama peneraju program Tampung Tambang Balik Mengundi ketika majlis pelepasan pada malam Jumaat di Kuala Lumpur - Foto/AstroAWANI

“Inisiatif ini adalah hasil sumbangan daripada pelbagai pihak untuk memastikan semua orang yang tiada peluang untuk pulang ke kampung halaman dapat tunaikan tanggungjawab.

“Tiada kos dikenakan kepada mereka, semuanya secara percuma untuk pergi (Jumaat) dan pulang (Isnin) dan hari ini seramai 198 orang menerima manfaat daripada inisiatif ini,” jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Beberapa penumpang yang ditemu bual juga mengucapkan penghargaan kepada penganjur atas inisiatif berkenaan.

Penumpang, Muhammad Ammar Faiz Mohd Zain dan Nur Nabilah Mohd Naji mengucapkan penghargaan kepada inisiatif menyediakan bas percuma ini bagi mereka yang ingin pulang mengundi - Foto/AstroAWANI

Bagi Muhammad Ammar Faiz Mohd Zain, 25, yang merupakan pengundi kali pertama, beliau hampir putus asa untuk mengundi berikutan tidak berpeluang untuk membuat pembelian tiket bas sebelum ini.

“Tiket bas awal lagi dah habis terutama ke Kelantan ni, jadi saya hampir putus asa untuk mengundi kali ini.

“Tapi ada kawan beritahu ada inisiatif bas percuma ini, terus saya buat pendaftaran awal minggu lalu dah dapat peluang untuk balik ke kampung kali ini,” jelasnya.

Seorang lagi penumpang, Nur Nabilah Mohd Naji, 21 memaklumkan, inisiatif ini membantu meringankan bebannya untuk pulang mengundi.

“Semestinya beban saya kurang sikitlah bila dapat guna perkhidmatan bas secara percuma ini.

“Kami hanya daftar dan dapat peluang untuk pergi dan pulang tanpa perlu membayar, inisiatif ini sangat membantu kami nak tunaikan tanggungjawab mengundi,” katanya.

Antara lokasi termasuk di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Johor, Pahang dan Kelantan.

Kesemua penumpang akan diturunkan ke lokasi pilihan mereka dan dijangka tiba ke lokasi masing-masing awal pagi Sabtu.