PENAMPANG: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Penampang, Kenny Chua Teck Ho mahu membina sebuah universiti berteraskan minyak dan gas di kawasan tersebut, jika diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata, beliau optimis syor tersebut boleh direalisasikan dalam usaha untuk meningkatkan penglibatan anak muda dalam industri berkenaan.

Ujar beliau, rundingan sedang dijalankan bersama kerajaan Negeri dan Petronas bagi menubuhkan institusi pendidikan tersebut.

"Ia memang dalam perbincangan dan kami telah mengeluarkan kertas cadangan ini. Ia masih dalam perbincangan lagi tetapi ia sesuatu yang baik untuk kita sebab ada maklum balas.

"Ada perkembangan positif dan kita akan lihat sejauh mana (ia boleh dilaksanakan). Jadi saya berharap ia dapat dipertimbangkan di Penampang atau di mana-mana selagi ia berada di Sabah," katanya kepada pemberita di Pejabat STAR, di sini hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Zahid tidak akan jadi PM jika BN menang - Tok Mat

Kenny Chua menambah, cadangan untuk membangunkan universiti tersebut di Penampang dibuat memandangkan Parlimen itu terletak berdekatan dengan Kota Kinabalu, sekali gus mampu menjadikan Penampang sebagai hab pendidikan.

Selain itu, beliau berkata ia juga akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

"Ya memang itu adalah salah satu objektif utama di mana kalau kita ada universiti di sini, anak-anak kita tidak payah lagi ke luar negeri untuk belajar.

"Jadi kita akan mewujudkannya dan ini untuk membantu industri minyak dan gas di Sabah berkembang," tambahnya.



Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam itu berkata, terdapat lokasi dan tanah hak milik kerajaan Negeri yang boleh digunakan untuk membangunkan projek tersebut.

Dalam pada itu, Kenny Chua juga memandang serius kenaikan harga makanan termasuk ayam yang menghimpit rakyat.

Bagi menyelesaikan perkara itu, beliau berkata kementerian berkaitan perlu mengadakan rundingan dua hala dengan pengusaha dan pembekal bagi mengurangkan kenaikan harga ayam.

Selain itu, antara yang turut diperjuangkan dalam manifesto beliau ialah pelaksanaan prasarana kemudahan asas seperti klinik; pembangunan wanita, keluarga, dan masyarakat; serta mengalakkan penglibatan belia dalam arus pembangunan negara.

Kerusi Parlimen Penampang menyaksikan saingan empat penjuru pada PRU15.

Ia melibatkan Datuk Darell Leiking yang mewakili Parti Warisan (Warisan); Datuk Ewon Benedict yang mewakili Pakatan Harapan (PH); Kenny Chua (GRS-BN) serta calon Bebas, Richard Jimmy.