MARANG: Penyandang Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan penyandang Parlimen Tumpat Datuk Che Abdullah Mat Nawi bebas untuk bertanding atas tiket apa sekalipun. 

Ini kerana, mereka bukan lagi anggota Pas, jelas Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Katanya, tidak menjadi kesalahan bagi kedua-dua mereka untuk bertanding mewakili mana-mana parti sekalipun.

"Mereka bukan pemimpin Pas lagi dan bukan anggota Pas. Mereka sudah dipecat daripada Pas.

"Secara automatik, mereka bebas untuk bertanding parti mana-mana," katanya pada sidang media ketika Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu di sini semalam.

Menurut Abdul Hadi, kedua-dua Mohd Khairuddin dan Che Abdullah sebelum ini sudah diambil tindakan disiplin kerana didakwa ingkar keputusan parti.

"Mereka sudah tiada disiplin dari awal, dan sudah diambil tindakan disiplin.

"Semua mereka dipanggil dan diberi nasihat kerana mereka ada pandangan mereka, namun tak mahu dengar keputusan parti, sila keluar daripada parti," jelasnya.

BACA: Video nikah tular: Timbalan menteri mohon maaf 

BACA: Khairuddin Aman Razali umum keluar Pas

Sebelum ini, media melaporkan, kedua-dua penyandang Parlimen yang menang atas tiket Pas pada PRU14, kini akan bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi masing-masing.

Namun, jelas Abdul Hadi, PAS tidak akan tergugat dengan tindakan itu dan ia tidak akan memberi kesan besar.