KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak menolak kemungkinan kerjasama di antara parti itu dengan Parti Warisan pada masa depan.

Bagaimanapun jelas Naib Presiden PBS, Datuk Johnny Mositun, belum ada perbincangan di peringkat parti mengenai perkara itu walaupun Warisan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama.

"Dalam politik tidak ada musuh yang kekal, tidak ada kawan yang kekal, apapun boleh berlaku.

"Mengenai hasrat Warisan untuk bekerjasama dengan PBS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), setahu saya belum ada lagi perbincangan berlaku setakat ini.

"Ianya hanya sekadar cakap-cakap politik di luar daripada PBS," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Politik | Warisan sedia berkerjasama dengan PBS

Pada satu Majlis Rumah Terbuka Kaamatan Parti Warisan di Dewan Kedamaian Square Taginambur pada Ahad, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal  menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan PBS.

Beliau berkata, kesediaan itu kerana Sabah memerlukan satu gabungan parti tempatan yang kuat di peringkat akar umbi.

"Seperti yang saya nyatakan, kena ada juga pihak-pihak di peringkat akar umbi, bukan hanya suara daripada luar," katany Shafie.