KUALA LUMPUR: Jurang kemiskinan ketara antara isu yang perlu menjadi salah satu isu perlu diatasi di kawasan Lembah Pantai.

Calon Parti Pejuang bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai, Dr Asmah Mohd Razalli memberitahu sebagai anak jati di kawasan itu, masih banyak masalah yang tidak berjaya diselesaikan oleh wakil rakyat yang sudah dua penggal menang di Lembah Pantai.

“Tiada Parlimen 'hotspot', hanya terlalu banyak masalah rakyat yang tidak berjaya diselesaikan dan hanya pembaharuan kepimpinan sahaja yang mampu mengubah nasib serta masa depan anak lembah pantai yang dilihat dihimpit kebimbangan tidak mampu menetap di tanah sendiri.

“Isu kemampuan rakyat di Lembah Pantai untuk memiliki rumah sendiri membuat jiwa saya sedih dan berazam sekurang kurangnya membantu penduduk mampu menyewa beli dengan kadar minimum dan bukannya membiarkan projek perumahan berskala mewah sahaja yang tegak berdiri di Lembah Pantai tanpa mengira nasib anak watan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya, sekiranya terpilih sebagai wakil Lembah Pantai di Parlimen, Dr Asmah mahu memperjuangkan pembangunan lebih sistematik dengan pusat komuniti serta asuhan pendidikan kanak-kanak.

“Pusat ini akan dilengkapi kemudahan penjagaan asuhan, sukan, perpustakaan, akses jalur lebar, pusat kongsi rezeki untuk asnaf atau mana mana warga lembah pantai yang tidak mampu membeli sebutir beras tanpa sebarang birokrasi menyusahkan,” katanya.

Tambahnya lagi, dia turut menerima banyak aduan kekecewaan kerana masalah kesesakan dan banjir di Kampung Pasir masih belum dapat diselesaikan.

“Lembah Pantai ini umpama Kampung Baru kedua di ibu kota. Penduduknya majoriti Melayu dan tergolong dalam B40.

“Mereka sepatutnya mempunyai wakil rakyat yang betul-betul prihatin, cakna dan ada kesungguhan untuk memajukan kawasan ini, tetapi tidak menjadi kenyataan,” katanya.

Tambah Dr Asmah, dengan pelbagai permasalahan rakyat yang tidak diselesaikan kerana wakil rakyat belum cukup berani menjadi suara rakyat sebenar, dia bertekad untuk memperjuangkan hak rakyat Lembah Pantai. 

Dr Asmah merupakan calon nombor satu di kertas undi pada hari mengundi 19 November depan berharap rakyat Lembah Pantai bangkit membuat perubahan untuk menjadikannya wakil mereka di Parlimen.

SEMAK NAMA CALON UNTUK PRU15 DI SINI