KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) masih menjalankan rundingan bagi menentukan calon di kerusi Parlimen Beluran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pengumuman akan dibuat sebelum penamaan calon pada 5 November ini.

Bagaimanapun, Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO enggan mengulas sama ada kerusi tersebut akan diberikan kepada calon BN atau GRS.

“Masih lagi dalam rundingan. (Pengumuman sebelum penamaan calon), ya kami akan buat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon GRS-BN di sini pada Rabu.

Kerusi Parlimen Beluran disandang oleh Menteri Pertanian Industri dan Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Pada PRU14, Ronald menang atas tiket BN dengan majoriti 7,115 dalam saingan enam penjuru.


Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15. KLIK DI SINI!

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Pengumuman calon BN dan PN



Ketika pengumuman serentak calon GRS-BN hari ini,  Bung dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor tidak mengumumkan calon bagi kerusi berkenaan.

Dalam pada itu, Bung berkata bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak bercadang untuk bertanding pada PRU kali ini.

Selain itu beliau berkata, anak Musa, yang juga penyandang kerusi Parlimen Sipitang, Datuk Yamani Musa juga difahamkan menolak untuk bertanding.

“Musa tidak berniat (untuk bertanding). Dia tidak pernah memberitahu saya yang dia mahu membuat kemunculan semula,” kata Bung.

"Anaknya juga, menurut Ketua Menteri, beliau menolak untuk bertanding," tambah Timbalan Ketua Menteri Sabah itu lagi.