BERA: Seramai 20 Ahli Jawatankuasa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Parlimen Temerloh mengumumkan keluar parti serta-merta susulan tindakan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memecat Penyelaras Pejuang Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Rofaie Hamdan pada Jumaat.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Pejuang Parlimen Temerloh, Abu Bakar Mohd Husain dalam satu kenyataan media dikeluarkan pada Sabtu.

“Polemik yang melanda Parti Pejuang Tanah Air umpama kudis yang menjadi pekung. Itulah ungkapan yang sewajarnya saya berikan terhadap parti kecil yang mempunyai cita-cita besar yang telah saya anggota sejak awal penubuhannya sehingga kenyataan ini tertulis.
 

“Kenyataan ini dirasakan amat sesuai saya sampaikan selepas membaca kenyataan yang telah diberikan oleh Dato' Seri Utama Haji Mukhriz Tun Mahathir terhadap Dato' Mohd Rofaie Mohd Hamdan bekas Penyelaras Pejuang Parlimen Temerloh yang juga bekas Penyelaras GTA Parlimen Temerloh,” jelasnya.

Dalam kenyataan yang dikirimkan Abu Bakar, beliau mendakwa Pengerusi GTA Negeri Pahang tidak pernah mengadakan perbincangan secara berhemah bersama AJK Pejuang di Parlimen itu mengenai isu calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Malangnya, Pengerusi GTA Negeri tidak mempunyai sifat seumpama itu dan langsung tidak pernah mengadakan perbincangan secara berhemah dan beradab seperti yang dituntut oleh Dato' Seri Utama Presiden.

"Tidak ada satu pun, pelawaan atau keberanian yang ditunjukkan untuk Pengerusi GTA negeri Pahang berhadapan dengan semua AJK Pejuang Temerloh untuk membolehkan kita bergerak umpama kata 'bulat air kerana pembetung dan bulat manusia kerana muafakat'.

"Sikap terjah dan sombong dengan pangkat dan `title’ ini menyebabkan pelbagai pesepsi buruk dan negatif telah berlaku," katanya lagi.

Dakwanya lagi, tiada musyawarah dijalankan dalam menentukan calon dan secara tiba-tiba semua calon Pejuang di Parlimen Temerloh diketepikan.

Justeru, ujarnya AJK Pejuang Temerloh memutuskan sebulat suara untuk meletakkan jawatan dan keluar parti sebagai tanda solidariti terhadap pemecatan Mohd Rofaie.

"Pejuang sudah disisihkan dan tidak dipedulikan oleh Pengerusi GTA Negeri untuk bersama berjuang, maka amat wajar akar umbi parti pejuang yang kekal setia bersama pemimpinnya yang dipecat untuk kami memberikan undi kami kepada PN dan memungkinkan penyingkiran UMNO dan BN dari kamus politik tanah air selepas PRU15.
 
"Sehubungan dengan itu kami Ahli Jawatankuasa Parti Pejuang Tanah Air Parlimen Temerloh telah memutuskan sebulat suara untuk meletakkan jawatan dan keluar parti.

"Ia sebagai tanda solidariti atas tindakan yang diambil oleh pihak Majlis Tertinggi Pusat Parti Pejuang Tanah Air dalam menangani isu pemecatan Dato’ Mohd Rofaie Hamdan," tambahnya.

Pada 4 November lalu, Mohd Rofaie dalam satu sidang media khas menyatakan akar umbi parti itu menyokong calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Temerloh pada PRU kali ini.

Jelasnya, tindakan itu dibuat selepas hilang kepercayaan terhadap Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Pahang, Aminuddin Yahaya.

Bagaimanapun, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dalam satu kenyataan memaklumkan Mohd Rofaie dipecat serta-merta daripada parti itu susulan tindakannya itu.