AMPANG: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tegas dengan pendirian bahawa kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu baru-baru ini mempunyai unsur sogokan.

Pendirian tersebut kekal walaupun Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata pemberian geran bernilai RM350,000 oleh Kerajaan Persekutuan kepada belia Terengganu itu tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah.

Menurut Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz, parti itu berulang kali menggesa agar SPRM bebas daripada campur tangan politik.

"Saya rasa itu bukan sekadar pendirian MUDA, itu memang terang lagi bersuluh sebab kalau sekadar memberikan peruntukan, kita faham sebab mereka masih Kerajaan Perpaduan.

"Tetapi bila mereka beri peruntukan itu disambung dengan ayat seterusnya, 'asalkan orang muda menyokong gelombang biru dan merah', itu jelas bentuk sogokan pada pilihan raya akan datang.

"Sebab itu untuk MUDA, kita banyak kali sebut SPRM perlu bersih daripada sebarang campur tangan politik," dakwanya kepada Astro AWANI ketika ditemui semasa kempen bersama calon MUDA Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, Lisa Redzuan, di sini.

Jelas Amira Aisya, MUDA sentiasa lantang dan mahu memastikan lantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah bebas daripada Pejabat Perdana Menteri, dibahas serta ditentukan di Parlimen.

"Sebab itu bila Azam dilantik semula, saya memang tak setuju dan mengecam sekeras-kerasnya. Sebab kita tahu sebelum ini sewaktu Perikatan Nasional (PN) mentadbir, kita turun ke lapangan dan ke jalanan untuk menentang Azam kerana kes rasuah pada waktu itu, besar dan hangat diperkatakan.

"Pada waktu itu bukan MUDA sahaja turun, saya ingat antara orang yang bercakap dan berucap pada waktu itu ialah sahabat saya, Adam Adli (Timbalan Menteri Belia dan Sukan). Tetapi dia sekarang merupakan Ketua Pemuda PKR dan tidak menyebut apa-apa tentang perkara ini," ujarnya.

Dalam masa sama, ADUN Puteri Wangsa itu menambah MUDA boleh memahami 'marriage of convenience' tetapi ia tidak bermakna semua pihak melupakan prinsip yang diperjuangkan.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mengumumkan pemberian geran RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan RM250,000 Majlis Belia Malaysia (MBM) Terengganu.

Selain sumbangan kepada gabungan belia Ketengah dan MBM Terengganu, Zahid juga mengumumkan bantuan RM200,000 kepada kelab bermotosikal di negeri itu.

Pada majlis itu, Zahid dilaporkan berkata: "Untuk Majlis Belia Negeri Terengganu saya luluskan RM250,000. Untuk pasukan bermotosikal seluruh negeri Terengganu saya berikan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk seluruh motosikal di negeri Terengganu.

"Itu baru saya, lepas ini PM (Perdana Menteri) naik dia akan top up (tambah), akan tambah, asalkan pada 12 Ogos nanti, para belia mengikut gelombang biru dan gelombang merah yang ada di negeri Terengganu, boleh?".

Susulan itu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilapor mendakwa Ahmad Zahid cuba 'menormalisasikan' rasuah.