SRI AMAN: Parti Sarawak Bersatu (PSB) mengambil iktibar daripada kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menjelang PRN Sarawak akan datang.

Calon PSB-Lingga, Datuk Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman berpandangan, keputusan PRN itu dibuat berdasarkan penilaian rakyat terhadap prestasi PH dalam tempoh singkat gabungan itu menerajui kerajaan Melaka. 

“Mereka (PH) sepatutnya memberi khidmat yang terbaik (ketika mentadbir Melaka), tetapi mereka tidak menyampaikan sewajarnya.

“Jadi, (kesan daripada itu) (keputusan berpihak) kepada Barisan Nasional (BN) lah.

“Selain itu, (kekalahan PH) mungkin disebabkan peratusan keluar mengundi pada hari tersebut,” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas potensi PSB pada PRN Sarawak selepas kemenangan besar BN pada PRN Melaka semalam.

BN membentuk kerajaan baharu di Melaka dengan dua pertiga majoriti selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Sementara itu, PH yang diwakili oleh PKR kalah di semua kerusi yang ditandingi, Parti Amanah Negara (Amanah) hanya menang satu kerusi, manakala DAP menang empat kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula hanya memenangi dua kerusi DUN.

Mengulas lanjut, Wan Abdillah berkata meskipun PSB sebuah parti baharu di Sarawak, tetapi ia juga wajar diberikan peluang untuk memimpin Sarawak, sepertimana peluang yang pernah diberikan kepada PH. 

“Jadi, beri PSB peluang seperti mana peluang yang diberikan kepada PH sebelum ini. PSB belajar (daripada) kesilapan PH,” ujarnya.

Beliau pada masa sama menyifatkan senario politik di Melaka dan Sarawak adalah berbeza. 

Untuk rekod, Wan Abdillah yang bergiat aktif sebagai aktivis sosial bertanding di kerusi DUN Lingga pada PRN Sarawak ke-11 atas tiket Bebas.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, calon BN, Datuk Simoi Peri menang dengan majoriti 2,943 mengalahkan Wan Abdillah dan calon PKR, Abang Zulkifli Abang Engkeh. 

Sementara itu, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PH meraih majoriti mudah di Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu selepas menewaskan BN.

Bagaimanapun, pentadbiran PH hanya mampu bertahan selama 22 bulan sebelum ia diambil alih PN di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.