GEORGE TOWN: Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan rundingan mengenai agihan kerusi membabitkan Bersatu, PAS dan Gerakan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Pengerusi Gerakan Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat yang diadakan sebelum Tahun Baharu Cina, yang dijadual disambut pada 22 Jan ini.

"Selepas Pilihan Raya Umum ke-15, PN telah mengadakan mesyuarat dua kali sebulan sebagai persediaan menghadapi PRN yang dijangka pada pertengahan tahun ini.

"Kita menjangkakan PRN untuk keenam-enam negeri pada Mei, selepas sambutan Aidilfitri pada April," katanya kepada pemberita di Pejabat Gerakan Pulau Pinang hari ini.

Enam negeri berkenaan ialah Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Harapan serta Terengganu, Kelantan dan Kedah yang diterajui PAS.

Lau yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang turut menjangkakan agihan kerusi hanya akan dapat dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon selain menyatakan bagi PRN di negeri Pulau Mutiara itu, gabungan berkenaan akan bertanding di kesemua 40 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu, Lau berkata PN juga akan mengadakan Rumah Terbuka sempena Tahun Baharu Cina di ibu pejabat Gerakan di Kuala Lumpur pada 10 pagi, 22 Jan.

-- BERNAMA