KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini menyaksikan bilangan pengundi muda berumur 18 hingga 20 tahun yang paling ramai adalah di Selangor iaitu sebanyak 274,194 orang.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menunjukkan kumpulan pengundi muda kedua tertinggi ialah di Kedah iaitu 104,284 pengundi, Kelantan (96,513), Pulau Pinang (67,633), Terengganu (64,264), manakala Negeri Sembilan (55,017). 

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengundi kumpulan itu seramai 661,905 orang.

Sementara itu, daftar pemilih sama menunjukkan pengundi berusia 21 hingga 29 tahun menjadi kumpulan paling ramai di keenam-enam negeri berkenaan dengan jumlah 2,169,120 pengundi, diikuti pengundi berusia 30 hingga 39 tahun(2,163,982 orang).

Selangor menjadi negeri yang mempunyai jumlah pengundi berdaftar tertinggi iaitu 3,747,057 orang diikuti dua negeri yang ditadbir oleh pembangkang iaitu Kedah dan Kelantan masing-masing 1,585,085 dan 1,411,912 orang.
 
Bagi kumpulan pengundi berumur 90 tahun dan ke atas pula, seramai 28,991 layak mengundi dengan Selangor mempunyai 8,638 orang, diikuti Pulau Pinang (6,152), dan Kedah (4,799).

Secara keseluruhan, PRN itu melibatkan seramai 9,773,571 pengundi dengan Selangor seramai 3,747,057 orang, Kedah (1,585,085), Kelantan (1,411,912), Pulau Pinang (1,234,198), Terengganu (930,894) dan Negeri Sembilan (864,425).

Terdahulu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan 12 Ogos depan sebagai hari pengundian bagi PRN dan diadakan serentak melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

Dengan kos RM420 juta bagi pelaksanaan PRN berkenaan, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 29 Julai, sehingga 11.59 malam, 11 Ogos 2023 (Jumaat).