KUALA LUMPUR: UMNO berharap Pas menghormati ketetapan parti itu untuk tidak bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO mempunyai dasar serta perancangan tersendiri dan bebas melakukannya mengikut prinsip parti.

"Kita menghormati ketetapan kepimpinan Pas untuk bersama Bersatu dalam PRN Melaka. Maka kita berharap pemimpin Pas juga menghormati ketetapan UMNO tidak bersama dengan Bersatu.

"Sesungguhnya, UMNO tidak pernah berhasrat mendesak atau mengugut Pas supaya tidak bersama Bersatu. Bagi UMNO setiap dasar dan perencanaan politiknya tidak pernah tersasar daripada landasan agama, bangsa dan negara," katanya dalam satu perkongsian di laman Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mengumumkan, Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan untuk bergerak bersendirian pada PRN Melaka. Pas pula mengumumkan akan bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) dalam PRN itu.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menzahirkan rasa kecewa dengan keputusan BN dan UMNO yang mengumumkan bertanding di semua kerusi pada PRN Melaka.

Tuan Ibrahim dilapor berkata, usaha penyatuan yang dibuat kelihatan sangat positif pada awal namun gagal pada hujungnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mengakui UMNO membangkitkan mengenai ketetapan yang pernah dibuat oleh Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN) iaitu keputusan pada mesyuarat 19 Oktober dan 18 November tahun lalu.

"Perkara itu diiungkapkan semula dalam agenda meneruskan persefahaman bersama Pas bagi berdepan PRN Melaka. Walaupun UMNO sejak awal telah bersedia untuk mengharungi PRN Melaka dengan keadaan apa sekali pun di bawah panji BN.

"Asas persefahaman dengan Pas iaitu berpandukan kepada prinsip Pas akan menggunakan lambang partinya sendiri. Bagaimanapun pimpinan Pas tampak tidak berminat memenuhi ketetapan MN itu kerana mahu bersama Bersatu. Ia bermakna Pas perlu menggunakan logo PN seperti yang dikehendaki Bersatu," katanya.