MELAKA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya tidak boleh menunggu terlalu lama 'rakan di sebelah sana' untuk membuat keputusan sama ada sedia bekerjasama atau tidak semata-mata bagi mengelak pertembungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

"Dalam soal urusan siasah sebegini, kita mesti mengatur strategi dan langkah yang tepat. Kita tak boleh menunggu pihak di sana kata kami sudah bersedia.

"Dalam menguruskan negara, mentadbir negeri, pengurusan parti dan sebagainya, saya membuat keputusan berdasarkan keadaan dan situasi, dan mengatur strategi. Strategi yang kita atur mestilah strategi yang tepat dan betul untuk membawa kemenangan besar kepada parti kita," katanya berucap pada Majlis Makan Tengah Hari PN Melaka di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin PRN Melaka ialah masa terbaik bagi rakyat negeri itu menguji dan melihat keupayaan dan ketokohan kepimpinan PN untuk membantu mereka mentadbir Melaka.

BACA: PRN Melaka: 'Hasrat saya nak berbaik dengan semua'- Muhyiddin

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan berkata PN bersedia menghadapi persaingan tiga penjuru pada PRN Melaka seandainya tidak ada keputusan yang jelas dan tegas dari UMNO.

Beliau turut dipetik sebagai berkata ini memandangkan tempoh masa menjelang PRN Melaka semakin singkat namun sehingga kini tiada sebarang keputusan bentuk kerjasama diumumkan Barisan Nasional (BN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 Nov.

-- BERNAMA