KUALA LUMPUR: Bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November nanti, Perikatan Nasional (PN) melancarkan ikrar bagi parti itu.

Ikrar tersebut merupakan manifesto PN bagi rakyat Melaka sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan di negeri berkenaan.

Dalam ucapannya Muhyiddin menjelaskan, Melaka Bangkit Gemilang merupakan tema ikrar PN dalam PRN Melaka kali ini

PN juga berikrar akan membawa perubahan besar dalam pentadbiran kerajaan negeri sekiranya dipilih untuk membentuk kerajaan.

"Kita menawarkan kepada rakyat negeri Melaka pemimpin-pemimpin berwibawa sebagai peneraju motto kita: Melaka Bangkit Gemilang.

"Saya amat yakin, gabungan kepimpinan calon Perikatan Nasional yang bertanding kali ini mampu membawa aspirasi rakyat negeri Melaka yang tentunya ingin melihat Melaka bangkit sebagai sebuah negeri yang gemilang,"katanya ketika menyampaikan ucapan pelancaran Ikrar Perikatan Nasional Untuk Melaka.

Dengan enam tunjang utama, PN berikrar akan membawa perubahan besar kepada pendekatan pentadbiran kerajaan Melaka.

Katanya, pentadbiran PN di Melaka jika dipilih akan bertunjangkan nilai integriti dan ketelusan bagi memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

"Perikatan Nasional telah merangka satu tawaran yang inklusif dan menyeluruh kepada seluruh rakyat negeri Melaka.

"Ini bagi memastikan tiada golongan yang dipinggirkan daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat negeri ini dalam pelbagai sektor ekonomi," katanya lagi.

Muhyiddin juga menjelaskan, sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan akan ditubuhkan dan dianggotai anak jati Melaka daripada golongan profesional dan berpengalaman.

Beliau menegaskan PRN Melaka merupakan peluang terbaik bagi rakyat negeri itu membuat perubahan bagi memastikan kepimpinan berintegriti dipilih.

Jelas Muhyiddin, Melaka perlu diterajui kerajaan yang berintegriti bagi memastikan kekayaan negeri dapat dinikmati rakyatnya.