KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mungkin akan berdepan dengan peratusan keluar mengundi yang rendah berbanding sebelum ini.

Menurut penganalisis politik, Prof Datuk Dr Ismail Sualman, terdapat dua faktor utama yang akan menyebabkan peratusan itu menurun terutamanya dalam keadaan situasi rakyat yang mungkin masih berasa tidak ada kewajaran bagi mereka ditarik dalam polemik politik ketika ini.

Tambah beliau, rakyat negeri Melaka juga mungkin menyangka PRN kali ini seakan hanya pilihan raya kecil sedangkan ia merupakan Pilihan Raya Negeri yang begitu penting berbanding pilihan raya kecil.

“Apa yang saya dapat analisis di sini ada beberapa perkara yang mungkin menyebabkan mereka tidak mahu turun mengundi. Antaranya, sesetengah mereka mengatakan, kenapa rakyat terpaksa diheret untuk mengundi sedangkan alasan untuk mengundi itu tidak kukuh ataupun tidak sepertinya atas asas-asas demokrasi.

“Yang kedua, sesetengah daripadanya masih menganggap bahawa ini adalah seperti pilihan raya kecil sahaja dan bukanya pilihan raya umum atau PRN dan kebanyakan mereka mahu hanya mengundi untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 sahaja nanti," jelasnya kepada Astro AWANI.

Tambah beliau, peratusan semasa pengundi yang keluar sehingga jam 12 tengah hari masih lagi terlalu rendah iaitu sekitar 40 peratus sahaja.

Beliau bagaimanapun berharap peratusan itu mampu ditingkatkan menjelang petang nanti berdasarkan faktor cuaca yang agak baik.

Berdasarkan dinamika politik semasa di Melaka ketika ini katanya, semua parti politik yang bertanding kali ini mempunyai peluang untuk menang, namun beliau melihat kecenderungan lebih memihak kepada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) yang jelas lebih menonjol.