KUALA TERENGGANU: Pas akan mengundi calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini sekiranya berlaku pertembungan kerusi.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sokongan terhadap PN tidak akan berubah sekiranya berlaku pertembungan antara calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, keputusan itu juga selaras dengan komitmen Pas untuk terus mendukung gabungan itu termasuk persetujuan menggunakan logo PN.

“Kita pegang pada asas kita tiga parti… kalau ada parti tak mahu kerjasama terpulang pada dia la.. bila sebut kerjasama, maka bersedialah berlaku peralihan kerusi daripada parti-parti bukan sahaja Muafakat Nasional termasuk Perikatan Nasional bahkan di Melaka melibatkan bukan sahaja Pas di Melaka termasuk… sikap kita tegas pembahagian yang adil dalam kerjasama Perikatan Nasional,” kata beliau.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan Ucapan Dasar sempena Muktamar Pas Ke-67 di sini, pada Sabtu.

BACA: PRN Melaka: Pas umum calon petang ini, enggan tamak, bakal tanding 1/3 kerusi DUN

Terdahulu, Barisan Nasional (BN) mengumumkan bakal bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (dun).

Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebanyak 86 peratus muka baharu akan ditampilkan, dengan hanya empat penyandang kekal.