MELAKA: Ketua Whip PKR Datuk Johari Abdul menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan pilihan raya paling tenang dan tertib yang pernah disaksikannya dalam sejarah pilihan raya negara.

Memuji prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Johari berkata PRN Melaka wajar dijadikan norma baharu pilihan raya yang perlu diikuti pada akan datang.

"Ini merupakan kali pertama pilihan raya diadakan sedemikian rupa, saya kira ini adalah pilihan raya yang begitu tenang dan tertib berbanding pilihan raya sebelum ini. PRN Melaka wajar menjadi contoh terbaik untuk pilihan raya akan datang," katanya pada majlis memperkenalkan calon PKR selepas proses penamaan calon di sini hari ini.

PKR bertanding 11 kerusi di bawah Pakatan Harapan (PH), manakala komponen PH, Amanah bertanding sembilan kerusi dan DAP, lapan kerusi pada PRN Melaka yang dijadual diadakan 20 Nov ini.

Johari yang juga Pengerusi PKR Kedah berkata setakat hari ini, tiada sebarang pelanggaran SOP oleh rakyat dan calon yang terlibat dengan pilihan raya itu.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] 'Perang' PRN Melaka sudah bermula

BACA: Kempen secara fizikal, ceramah, syarahan tidak dibenarkan - SPR

BACA: Ini fakta menarik yang anda perlu tahu

Pada penamaan calon yang berlangsung pukul 9 sehingga 10 pagi tadi, seramai 112 calon disahkan bertanding pada PRN Melaka ke-15 itu.

Terdahulu menurut SOP yang dikeluarkan oleh SPR, penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal adalah antara perkara tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN Melaka sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Melaka Datuk Halim Bachik berkata 11 calon PKR itu bebas dan bersih daripada sebarang halangan yang ditetapkan pihak SPR untuk mereka bertanding dalam PRN itu.

PKR juga mempertaruhkan calon termuda iaitu Farzana Hayani Mohd Nasir berusia 21 tahun yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai.

-- BERNAMA