MELAKA TENGAH: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggesa Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berhenti mencanang beliau adalah mangsa pengkhianatan UMNO.

Beliau berkata, Muhyiddin tidak boleh sengaja melupakan episod di mana beliau dan Datuk Seri Azmin Ali menyusun plot untuk membawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan beberapa pemimpin politik menjatuhkan Pakatan Harapan (PH).

Malah, kata Mohamed Khaled lagi, langkah yang menyebabkan PH tumbang itulah sebenarnya pengkhianatan, dan ia merupakan fakta yang tidak boleh dipertikaikan lagi.

“Yang mereka lupa, susulan Langkah Sheraton lah kita mula mendengar istilah ‘pengkhianat’ dalam pentas politik negara pada skala yang tidak pernah kita saksikan sebelumnya.

“Yang peliknya, individu yang sebelum ini menjadi 'silent mastermind' dan punca kejatuhan PH yang dipilih oleh rakyat secara sah, kini mula ke sana ke sini. Mencanang bahawa beliau mangsa yang dikhianati UMNO. Kerana UMNO menarik sokongan ke atas PN dan beliau pun jatuh dari terus menjadi Perdana Menteri,” katanya lagi.


 
Sumber Facebook MohamedKhaledNordin


Episod serangan antara pemimpin-pemimpin kanan parti politik utama di negara ini semakin panas, dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berbaki empat hari saja lagi.

Muhyiddin baru-baru ini mendakwa, beliau telah dikhianati UMNO berulang kali, termasuk peristiwa Kerajaan Negeri Johor pimpinan Menteri Besar dari Bersatu dijatuhkan dua kali, dan Perak sekali.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sekiranya beliau mahu membalas dendam, sudah pasti beliau boleh mengarahkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri Bersatu untuk menarik sokongan terhadap Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dari parti UMNO, Barisan Nasional.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled mendakwa, kerajaan yang diterajui Muhyiddin adalah gagal, dan kejatuhannya sebagai Perdana Menteri bukan disebabkan UMNO.

“Tetapi, memandangkan UMNO juga berada dalam kerajaan PN di bawah Muhyiddin, UMNO turut menerima tempiasnya. Maka, jalan paling bertanggungjawab untuk UMNO adalah memberikan teguran, desakan serta pandangan yang selari dengan sentimen serta kekecewaan masyarakat.

“UMNO harus bertindak sebagai instrumen semak dan imbang yang mampu membawa suara masyarakat sekali pun yang demikian itu bermakna UMNO terpaksa untuk menarik sokongan kepada kerajaan. Ini adalah tindakan berprinsip, bukan pengkhianatan,” katanya lagi.

PRN Melaka menyaksikan sekurang-kurangnya persaingan tiga penjuru di antara Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, dan Barisan Nasional di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri Melaka.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] 'Perang' PRN Melaka sudah bermula, undi awal esok

Hari pengundian awal jatuh pada 16 November, manakala hari pengundian ialah 20 November.