KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor demi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil, inklusif dan progresif dalam melaksanakan dasar serta kebijakan yang prihatin rakyat.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu, sehubungan itu mesyuarat Majlis Tertinggi PN mengadakan perbincangan dan memperhalusi persiapan PRN Johor malam tadi.

"Majlis Tertinggi Perikatan Nasional mengambil pendirian untuk menyertai PRN demi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil, inklusif dan progresif serta melaksanakan dasar dan kebijakan yang prihatin rakyat," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Pada masa yang sama, Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dan kaedah kempen lebih awal bagi membolehkan calon-calon turun ke lapangan untuk memperkenalkan diri dan menerangkan dasar serta manifesto yang akan dibawa dalam PRN nanti.

Katanya, demi menjamin prinsip dan amalan demokrasi yang kukuh dan padu serta proses pilihan raya yang bersih dan adil, SPR bertanggungjawab untuk menyediakan platform bagi parti-parti yang bertanding untuk berkempen dengan lancar berpandukan pematuhan SOP yang jelas.

"Ini bukan sahaja menjamin agenda pendemokrasian yang unggul, tetapi juga prinsip dan penghayatan demokrasi yang dinamik dan mantap," ujarnya.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, meskipun PN adalah sebahagian daripada kerajaan negeri Johor sebelum ini, namun keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat tanpa perundingan dengan PN Johor.

Beliau berkata, sebagai persediaan menghadapi pilihan raya PN akan mengadakan rundingan dengan parti anggotanya bagi memuktamadkan kerusi yang akan ditandingi selain memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti.