BATU PAHAT: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir berpandangan hanya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mampu membawa pembaharuan yang didahagakan oleh pengundi di kawasan tersebut.

Jelas Nizam Bashir, 48, keyakinan itu bersandarkan kepada manifesto Aspirasi Johor Pejuang termasuk mengetengahkan pemimpin yang bersih dan berkredibiliti.

Justeru, dia yakin akan memberikan saingan yang sewajarnya walaupun berdepan nama-nama besar seperti Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat,  Datuk Mohd Puad Zarkashi dan penyandang kerusi DUN Senggarang, Khairuddin A Rahim daripada Parti Keadilan Rakyat (Keadilan).

"Dalam konteks tersebut (Aspirasi Johor), saya rasa calon-calon lain tidak boleh membawa pembaharuan yang sebenarnya didahagakan oleh warga Rengit.

"Bagi saya, kalau kita lihat kepada manifesto yang telah diketengahkan Aspirasi Johor itu sendiri, ada pelbagai cadangan yang telah dikemukakan. Memang platform utama sememangnya parti ini memerangi rasuah.

"Walaupun mungkin ada yang mengatakan mereka juga kononnya boleh membawa idea atau saranan tersebut, saya rasa inilah satu-satu parti yang memiliki seorang Perdana Menteri yang bukan setakat memegang jawatan tersebut untuk sekali, tetapi telah memegang jawatan tersebut dua kali," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Rengit pada Selasa.

SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

BACA: Pejuang sedia bekerjasama dengan parti lain selepas PRN Johor

Mengulas lanjut, Nizam Bashir yang berpengalaman selama 24 tahun sebagai peguam berkata, manifesto yang dirangka oleh parti itu turut dapat menjamin peningkatan ekonomi pengundi DUN Rengit.

Tambahnya lagi, dia memfokuskan kepada peningkatan pendapatan penduduk khususnya dalam kalangan nelayan, dan kemahiran dalam golongan belia.

"Bagi muda-mudi di Rengit pula, kita kemungkinan kena perlu memastikan kemahiran yang dimiliki mereka perlu ditambah baik. Sepertimana yang ramai mungkin tahu, dunia sekarang memang ialah semua kena internet savvy, dan kita kena menghalusi sama ada  muda-mudi di Rengit memiliki kemahiran sewajarnya," ujarnya.


Pengundi Muda

Dalam pada itu, bapa kepada tujuh cahaya mata itu berkata, generasi muda perlu melibatkan diri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor demi kepentingan masa depan mereka di DUN berkenaan.

Katanya lagi, penglibatan pengundi berusia 18 hingga 20 tahun adalah sebahagian daripada sejarah dalam sistem demokrasi negara, maka kumpulan itu tidak seharusnya mensia-siakannya.

"Jadi, mereka adalah sebahagian daripada golongan yang akan mencipta sejarah dan itu sendiri bagi saya akan menjadi satu tarikan bagi mereka untuk mengambil bahagian.

"Apatah lagi bila sudah ada pendaftaran automatik, sememangnya tiada halangan utnuk mereka mengambil bahagian. Jadi, saya rasa kita akan lihat satu perbezaan yang agak ketara dalam PRN ini," katanya.

DUN Rengit akan menyaksikan saingan empat penjuru dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.

Mereka adalah Mohd Puad; Khairuddin; Nizam Bashir; serta Mohd Huzair Lajis yang mewakili Perikatan Nasional (PN).