NIBONG TEBAL: Tidak ada sebab untuk pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menolak calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang telah melancarkan iltizam atau manifesto komprehensif dan jelas untuk kawasan itu.

Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek berkata Joohari yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan pentadbiran akan membawa kemakmuran kepada kawasan Sungai Bakap.

"Saya lihat tawarannya begitu menyeluruh dan komitmennya begitu jelas, tiada sebab mengapa rakyat perlu menolak beliau (Joohari) terutama dengan kepakaran beliau dalam pendidikan dan pengalaman pentadbiran," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau ditemui selepas menyertai program bersama kumpulan ibu dan wanita khusus berkaitan penjagaan wajah serta fisioterapi di Taman Puteri Gunung di sini pada Ahad.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata menerusi manifesto itu, terdapat cadangan pembangunan fizikal selain ia turut berkait rapat dengan bidang akademik yang menjadi kepakaran Joohari sebagai bekas pendidik.

Bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu menggariskan empat teras utama dalam iltizam atau manifesto bagi PRK berkenaan yang diambil daripada perkataan per-P.A.D.U-an iaitu P - Prasarana dan Progresif; A - Akhlak, Akademik Anak Muda; D - Damai; dan U - Untuk Semua.

PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai ini menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu.

-- BERNAMA