NIBONG TEBAL: Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pagi ini berjalan lancar dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku setakat ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata setakat ini perjalanan proses mengundi berlangsung dalam keadaan baik malah pengundi juga dilihat keluar awal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Sehingga 10.30 pagi ini, kami tidak menerima sebarang laporan polis atau aduan berhubung perjalanan proses mengundi hari ini dan saya harap ia berjalan lancar sehingga tamat mengundi petang ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati beberapa laluan menghala ke pusat mengundi sedikit sesak berikutan orang ramai keluar awal untuk mengundi.

Bagaimanapun kehadiran pihak polis yang menjaga trafik membantu menyuraikan lalu lintas dan pengguna dinasihatkan supaya meletakkan kenderaan mereka di tempat yang dibenarkan bagi mengelak kesesakan teruk di kawasan mengundi.

Sebanyak sembilan pusat mengundi dengan 65 saluran dibuka mulai 8 pagi hingga 6 petang, melibatkan 39,151 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRK itu hari ini.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA