PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.


Ringkasan AI
  • Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 6 Julai sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang.
  • Proses penamaan calon akan berlangsung pada 22 Jun, manakala undi awal akan diadakan pada 2 Julai.
  • Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi DUN N.20 Sungai Bakap Pulau Pinang mengandungi seramai 39,279 orang pemilih.


Pemangku Pengerusi SPR, Azmi Sharom berkata proses penamaan calon akan berlangsung pada 22 Jun manakala undi awal pula pada 2 Julai.

"Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi DUN N.20 Sungai Bakap Pulau Pinang mengandungi seramai 39,279 orang pemilih.

"PRK DUN N20 Sungai Bakap ini memerlukan peruntukan sebanyak RM2.1 juta," katanya dalam sidang media di Menara SPR hari ini.

[TERKINI] PRK DUN Sungai Bakap: Penamaan calon 22 Jun, mengundi 6 Julai


Beliau memaklumkan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR bagi membincangkan urusan dan tarikh-tarikh penting untuk PRK tersebut.

Hadir sama Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak.

Mengulas lanjut, beliau berkata tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 22 Jun 2024 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 5 Julai 2024 (Jumaat).

Sementara, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK tersebut dibuka bermula dari hari ini, 6 Jun 2024 (Khamis).

"Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan adalah di Dewan Serbaguna Jawi, Jalan Serindit, Taman Desa Jawi, Pulau Pinang.

"Seramai 552 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Dewan Undangan N.20 Sungai Bakap, Pulau Pinang.

"Manakala, sebanyak sembilan buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 65 tempat mengundi/saluran dan satu pusat mengundi awal yang mengandungi satu tempat mengundi/saluran awal akan digunakan dengan keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 10 buah dengan 66 tempat mengundi/saluran," katanya.

Pada 27 Mei lepas, SPR mengesahkan menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Sungai Bakap.

Ia susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.

Sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal (5) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi berkenaan dipastikan oleh SPR.