NIBONG TEBAL: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berharap peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini melebihi 65 peratus.

Beliau berkata jika melihat kepada trend PRK sebelum ini, peratusan keluar mengundi lebih rendah berbanding ketika Pilihan Raya Umum (PRU).

"... namun kita berharap ia boleh capai 65 peratus ke atas kerana kita menaruh harapan calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan (Dr Joohari Ariffin) dapat memenangi PRK ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat di sini hari ini.

Sehubungan itu, Chow menasihati pengundi agar beramai-ramai keluar untuk melaksanakan tanggungjawab pada pagi ini, mengambil kira keadaan cuaca yang cerah dan baik.

"Diharap juga keadaan cuaca ini kekal sehingga petang supaya mengurangkan gangguan dan memberikan keselesaan kepada pengundi untuk datang beramai-ramai menunaikan kewajipan mereka," katanya.

PRK DUN Sungai Bakap hari ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Joohari dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lepas, kerusi berkenaan dimenangi Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

-- BERNAMA