Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, P091, bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dan PAS umum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Fadzilla Salleh hari ini.

Sebelum itu, pusat penamaan calon dibuka pukul 9 pagi tadi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah dan ditutup sejam kemudian.

Dua calon, iaitu Datuk Hasan Arifin daripada Barisan Nasional (BN), dan Nazri Ahmaf daripada PAS, telah menyerahkan borang pencalonan masing-masing.

FOTO: Penamaan Calon PRK Rompin

Calon PAS Nazri Ahmad dilihat tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.45 pagi disusuli calon BN Datuk Hasan Arifin yang tiba di pusat penamaan calon pada pukul 9.04 pagi.

Nazri Ahmad telah menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.04 pagi dan Hasan Arifin pula pada pukul 9.07 pagi.

PRK Rompin
Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin (tiga kanan) bersalam dengan calon PAS Nazri Ahmad (dua kanan) ketika hadir pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin di sini, hari ini. - Foto Bernama

Sementara itu Bernama melaporkan, penulis blog Mohd Shukri Mohd Ramli yang pada Isnin lepas mengumumkan untuk bertanding sebagai calon bebas, tiba pada 9.50 pagi tetapi tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak membawa penyata kewangan serta seorang pencadang dan seorang penyokong bersamanya.

BACA: Nazri Ahmad dipilih sebagai calon PAS untuk PRK Rompin

BACA: Calon BN PRK Rompin: Hasan anggap tanggungjawab berat

BACA: Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih

Sebelum itu, Hasan, pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin, diiringi Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah berarak dari Puteri Inn, kira-kira 30 meter dari pusat penamaan calon pada pukul 8.50 pagi.

Turut bersama mengiringi Hasan ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga penyelaras BN bagi PRK Rompin, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam, Naib Presiden Gerakan Datuk A Kohilan Pillay berserta 5,000 anggota dan penyokong BN.

Sementara itu, Nazri pula diiringi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, diarak dari stesen minyak Petronas kira-kira 200 meter dari pusat penamaan calon pada pukul 8.45 pagi.

Turut hadir Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, dua Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua berserta 1,000 penyokong.


Pengundian awal akan berlangsung pada 30 April ini manakala proses pengundian pula akan diadakan pada 5 Mei nanti.

Kawasan parlimen itu mempunyai 53,294 pemilih berdaftar.

PRK Rompin diadakan berikutan penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Pada pilihan raya umum Ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal itu setelah mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

PRK Parlimen Rompin adalah pilihan raya kecil kesembilan selepas PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.

Lapan PRK sebelum ini ialah PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2014); PRK DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25 Sept 2014) dan PRK DUN Chempaka, Kelantan (22 Mac 2015).