KUALA TERENGGANU: Sebanyak 67 calon termasuk dua calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu bakal 'beraksi' pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu, hari ini.

Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) meletakan 32 calon termasuk 27 dari BN, tiga dari PKR dan dua (Amanah) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Sementara Pas pula meletakan 27 calon berganding dengan lima calon dari Bersatu.

Dalam pada itu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) juga mempertaruhkan Pengarah Pilihan Raya merangkap Ketua Penerangan parti itu untuk bertanding di kerusi DUN Bandar.

Secara keseluruhannya, PRN Terengganu kali ini bakal menyaksikan pertembungan 1:1 kecuali di DUN Bandar.

Dalam pada itu, PRK Kuala Terengganu yang diadakan serentak dengan PRN juga menjadi tumpuan selepas kemenangan kerusi iti pada PRU lalu dibatalkan mahkamah.

Datuk Ahmad Amzad Hashim dari Pas memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas memperoleh 63,016 undi manakala calon BN, Datuk Mohd Zuber Embong memperoleh 22,109 undi, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad daripada PH mendapat 10,946 undi dan calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar (481 undi).

Bagaimanapun, kemenangan Ahmad Amzad terbatal selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lalu menerima petisyen yang difailkan calon BN, Mohd Zuber untuk membatalkan kemenangannya pada PRU15.

Keputusan itu dibuat mahkamah selepas pihak pempetisyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen di Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15.

Sehubungan itu, bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu, PH menyandarkan harapan pada
bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang, Azan Ismail yang diumumkan sebagai calon bagi kerusi P0.36 itu. 

Sementara Pas juga kali ini mengangkat Ketua Pengarah Ameerah Malaysia, Zuraida Md Noor sebagai calon DUN Ladang.

Pencalonan Zuraida adalah menggantikan penyandang kerusi DUN berkenaan, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar yang memilih tidak bertanding bagi memberi laluan kepada muka baharu.

Tengku Hassan memenangi kerusi berkenaan selepas berjaya menewaskan calon BN, Datuk Mohd Sabri Alwi pada PRU14 dengan memperolehi undi sebanyak 8,201 manakala Mohd Sabri (7,838).

Kali terakhir Pas meletakan calon wanita adalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 menerusi DUN Kuala Besut.

Pada PRU14, 32 kerusi DUN yang dipertandingkan, sebanyak 22 kerusi menjadi milik parti tersebut, 10 kerusi dimenangi BN manakala PKR pula gagal mendapat sebarang kerusi.

Beberapa kerusi mencatatkan jumlah majoriti yang tinggi termasuk kerusi ditandingi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi.