Walaupun bergelar 'Kampung Baru', tiada apa yang 'baru' di kampung yang terletak di belakang SMK Samagagah itu. Untuk sampai ke kampung itu pun, seseorang terpaksa mengharungi sebatang jalan yang tidak berturap, berliku-liku dan berlubang-lubang sepanjang 500 meter. Sesekali timbul keperluan untuk berhenti seketika untuk memberi laluan kepada lembu-lembu yang melintas.
Rumah-rumah papan yang terbina secara rambang di kawasan itu, tidak mempunyai bumbung yang sempurna, namun itulah kediaman tercinta keluarga-keluarga di situ.
Rumah usang yang terdapat di Kampung Baru, Permatang Pauh. Foto: TK Letchumy/ Astro AWANI
Apa yang lebih menyayat hati ialah selama 23 tahun penduduk di situ hidup tanpa air dan elektrik."Kami mula hidup di sini pada tahun 1992. Dulu ini kawasan hutan. Kami bina rumah sendiri.
"Tetapi tiada kemudahan asas di sini. Tiada api, tiada air. Kami sudah minta pertolongan pelbagai pihak termasuk pejabat daerah dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, tetapi tiada siapa layan kami.
"Kami minum tadah air hujan. Kalau air habis kami 'pinjam' air dari jiran. Kami gali telaga sendiri untuk guna air bawah tanah untuk basuh kain dan lain-lain.
"Kami guna lampu minyak tanah pada waktu malam. Kami pakai 'generator'. Jalan pun kami yang terpaksa gotong royong buat," kata Pak Cik Abu Bakar Jasin, 54.
Namun demikian, Pak Cik Abu Bakar yang mengutip dan menjual sampah sarap untuk menyara kehidupannya bersama isterinya, Mak Cik Mariyati Jaafar, 51, serta empat orang anak mereka, tidak pernah lupa tanggungjawabnya untuk mengundi setiap kali pilihan raya.
"Pak Cik tidak pernah lupa mengundi. Tapi Pak Cik kecewa tiada wakil rakyat yang datang menjenguk kami. Bayang pun tidak nampak selepas menang," katanya sedih," katanya semasa tinjauan Astro AWANI di situ.
Pak Cik Abu Bakar yang baru dua bulan mendapat kerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM500 sebulan berkata jika diberikan bantuan keluarganya sanggup berpindah ke rumah kos rendah dengan kadar sewa yang boleh dimampu olehnya.
Untuk mendapatkan bekalan elektrik, penduduk di Kampung Baru Permatang Pauh perlu bergantung kepada generator. Foto: TK Letchumy/ Astro AWANI
Mak Cik Mariyati pula berkata jika tiada pertolongan perumahan yang dibuat, sudah cukup untuknya sekiranya bantuan membaiki jalan tanah merah yang menuju ke rumahnya diberikan oleh pihak berkuasa.
"Kalau tak jalan tar, letak batu-batu pun tak apalah. Asalkan jalan boleh digunakan. Kesian kat anak-anak, masa tinggalkan rumah kasut bersih, sampai sekolah kasut kotor. Kalau boleh bantulah kami," katanya.