Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, mana-mana pihak yang mendakwa berlaku salah laku dalam kempen perlu membuat aduan rasmi kepada SPR dengan segera.
Menurutnya, setakat ini perjalanan kempen PRK berjalan lancar sebarang kesalahan dan insiden yang diingini.
"Setakat ini di peringkat kita... Alhamdulillah tiada aduan tidak sepatutnya berhubung kempen. Kita pun tidak terima laporan berhubung salah guna aset kerajaan.
"Selagi tiada aduan, kita dapati kempen berjalan lancar. Maknanya kempen dua minggu PRK Pelangai adalah berjalan lancar," katanya ditemui selepas meninjau persiapan PRK DUN Pelangai di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini pada Jumaat.
Beliau mengulas gesaan Perikatan Nasional (PN) yang mahu SPR memantau parti politik yang menyalahgunakan jentera dan aset kerajaan pada PRK DUN Pelangai.
Pada Khamis, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan pemantauan bagi pemberian insentif sama ada oleh kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan kepada rakyat sepanjang kempen berlangsung juga perlu diawasi.
Katanya, selain penggunaan jentera kerajaan serta kehadiran pegawai-pegawai agensi kerajaan negeri, pemberian insentif ibarat 'durian runtuh' kepada rakyat yang akan membuang undi nanti juga perlu dipantau.
Ahli Dewan Undangan Negeri Cheka itu berkata, tata kelola tersebut jelas bertentangan dengan semangat perjuangan reformasi selama 25 tahun dulu yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Sinar Harian