Bakal calon diberi tempoh sejam hingga 10 pagi bagi mengemukakan borang pencalonan, sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus di pusat penamaan calon.
PRK ini diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang terkorban dalam tragedi pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada bulan lalu.
Setakat ini, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing mengumumkan calon berpengalaman, dengan kedua-dua mereka pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
BN mempertaruhkan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam, 50 tahun, yang merupakan anak jati Felda Chemomoi.
Sementara, PN meletakkan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Bentong, Kasim Samat, 63 tahun, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Kasim yang pernah bertanding di DUN Pelangai pada PRU15, namun tewas kepada penyandang, Johari.
Selain itu, kemungkinan calon Bebas akan turut memberi saingan pada PRK kali ini, sekali gus dijangka menyaksikan saingan tiga penjuru.
Pengumuman rasmi calon dijangka dimaklumkan sekitar jam 10.30 pagi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail.
Terdahulu, calon PN, Kasim tiba sekitar 8.15 pagi diiringi ratusan penyokong termasuk Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Sementara calon BN, Amizar diiringi oleh kepimpinan BN dan Pakatan Harapan (PH) termasuk Presiden UMNO, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu.
Hari pengundian PRK DUN Pelangai ialah pada 7 Oktober, sementara undi awal ditetapkan pada 3 Oktober.
Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 ialah BN dan PN masing-masing mendapat 17 kerusi manakala PH menang lapan kerusi.