KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang akan bermula pada 14 September nanti.

Sebaliknya, parti itu bersetuju calon daripada Barisan Nasional (BN) bertanding di kerusi tersebut, bagi menghormati penyandang kerusi itu yang juga daripada BN.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dua perkara itu antara yang dipersetujui dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi parti itu pada minggu lepas.

Menurutnya, keputusan itu juga adalah bagi mengekalkan semangat sama seperti dilakukan  BN yang memberi laluan kepada PH ketika PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram sebelum ini.

Menurutnya, mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga memutuskan parti itu akan turun memberi sokongan sepenuhnya kepada calon daripada BN,.

“Mengekalkan kemenangan kerusi DUN Mahkota adalah menjadi keutamaan dalam semangat Kerajaan Perpaduan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Astro AWANI pada Selasa lepas melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh 28 September 2024 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor.

Manakala, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 14 September.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan itu dicapai selepas selesai mesyuarat ahli jawatankuasa suruhanjaya itu pada pagi Selasa.

Menurutnya, segala urusan permohonan berkaitan undi pos dalam dan luar negara juga dibuka bermula Selasa, 13 Ogos 2024.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan pemergian penyandang kerusi tersebut, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari pada 2 Ogos lepas.

Jenazah Sharifah Azizah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudahatul Sakinah, Kampung Tengah Kluang pada petang 2 Ogos lalu.