Pakatan Rakyat hari ini menggesa supaya Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mendedahkan nama ketua-ketua bahagian Umno yang hadir dalam pertemuan tertutup dengannya bersama Ketua Polis Negara, 14 Ogos lalu.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, sehingga kini tiada sebarang penafian dibuat oleh Abdul Gani ataupun Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung perkara ini.

“Adakah Peguam Negara bertindak menurut arahan dari pemimpin-pemimpin Umno? Siapakah dan bahagian-bahagian Umno manakah yang terlibat dalam pertemuan kontroversi tersebut?

“Mengapakah Peguam Negara baru sekarang mengambil tindakan terhadap laporan-laporan polis yang sudah lama dibuat oleh ahli-ahli Umno sejurus pertemuan pada 14 Ogos itu?” soalnya pada satu sidang media di pejabat agung PAS pusat.

Dakwa Mohamad atau Mat Sabu, persoalan tersebut sekiranya gagal dijawab boleh menimbulkan persepsi orang awam bahawa Abdul Gani telah ‘menyalahgunakan’ kuasa.

“Keyakinan awam terhadap kebebasan dan pentadbiran keadilan yang adil juga kini tergugat,” katanya.

Selain itu, Mat Sabu turut memberi amaran kepada Abdul Gani supaya menasihati kerajaan agar memansuhkan Akta Hasutan 1948 serta menarik balik kesemua pendakwaan ke atas individu-indvidu yang sedang didakwa di bawah akta tersebut.

Sementara itu, Pakatan Rakyat mengumumkan akan mengerahkan jentera mereka di seluruh negara bagi membantu Gerakan Hapuskan Akta Hasutan (GHAH) dalam objektif mereka memansuhkan akta itu.

“Akta ini kena kat sesiapa pun kita tak setuju… tak perlu dakwa di bawah akta ini. Kerana selagi ada akta ini, salah guna kuasa boleh berlaku,” kata Mat Sabu lagi.

Beberapa ahli GHAH yang turut hadir pada sidang media tersebut, juga mengumumkan akan menganjurkan satu majlis makan malam di Dewan Sivik Petaling Jaya pada 27 Oktober ini.

Jurucakap GHAH, Yap Swee Seng berkata, tujuan majlis tersebut adalah bagi menyatakan sokongan terhadap individu-individu yang ditahan di bawah Akta Hasutan.

“Kita juga akan adakan kutipan derma dari rakyat yang hadir untuk membantu mereka yang ditahan di bawah akta hasutan serta membantu menghapuskan akta ini,” katanya.

Selain itu, menurut aktivis, Hishamuddin Rais, tayangan perdana ‘Teater Bilik Kabinet’ juga akan diadakan pada majlis makan malam itu.

September lalu, sebanyak 112 pertubuhan masyarakat sivil bersatu dan melancarkan pembentukan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang digelar GHAH bertujuan membantah penggunaan berterusan undang-undang Akta Hasutan 1948.

Menurut Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen, gerakan yang akan dilancarkan secara rasmi pada 15 September itu merupakan usaha berpanjangan gerakan itu bagi menentang akta yang dianggap penindasan dan satu keganasan politik.