KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menyekat sebarang kerjasama dengan UMNO dengan prasyarat parti itu bersetuju untuk mengangkat semua agenda reformasi yang diperjuangkan PKR selama ini yang melihat kepada keutamaan untuk rakyat.

Pengerusi Perhubungan PKR Pahang, Fuziah Salleh berkata, ia termasuk agenda menentang ketidakadilan sosial, menolak rasuah dan salah guna kuasa, menerima Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta mengangkat kedaulatan undang-undang (rule of law).

Jelasnya, paling penting adalah mengekalkan prinsip serta memberi keutamaan kepada agenda reformasi.

"Ada satu dapatan sebuah akhbar sebelum ini menunjukkan PKR mendapat 14.41 peratus pilihan sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diikuti DAP (12.06 peratus) dan UMNO (10.46 peratus).

"Saya bawa contoh di Jerman di mana konsep gabungan besar politik mereka berjaya membawa kepada sefahaman dan agenda kemajuan walaupun berlainan ideologi," katanya semasa dihubungi pada Isnin.

BACA: Anwar syok sendiri, hanya bermimpi di siang hari - Onn Hafiz

BACA: 
Usah bergantung pada kelemahan pesaing, bina kekuatan sendiri - Penganalisis politik

Dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia pada Ahad, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujudnya perbincangan dengan UMNO untuk bekerjasama pada PRU15.

Anwar turut memberi jaminan akan membuat penjelasan kepada anggota PKR untuk mengelakkan masalah yang mungkin timbul dalam rancangan kerjasama dengan UMNO.

Beliau juga berharap anggota parti lebih taksub kepada idealisme dan bukannya kepada parti semata-mata untuk memastikan kerjasama itu berjaya.

Fuziah sebelum ini berkata, perjuangan bukan ditegakkan oleh individu tetapi prinsip kebenaran keadilan sejagat.

Ujarnya, perjuangan parti perlu diteruskan selain bersedia dengan gerak kerja bagi menghadapi PRU15.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda PKR (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman sebelum ini berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu sentiasa terbuka untuk menerima kerjasama politik dengan sesiapa sahaja, termasuk UMNO.

Jelasnya, keterbukaan PH menerokai kerjasama dengan mana-mana pihak lain akan membuka peluang kepada gabungan itu memenangi pilihan raya umum akan datang.

Pengarah Pilihan Raya UMNO Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini juga dilaporkan tidak menolak kemungkinan parti itu bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk PKR, DAP dan Amanah.

Katanya, dalam politik kerjasama dengan mana-mana pihak bukan sesuatu yang mustahil.