KUALA LUMPUR:Walaupun menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu, Pakatan Harapan (PH) ketika ini dilihat berada keadaan lemah susulan pandangan berbeza antara gabungan parti anggota.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali berkata, Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa yang diluluskan pada Isnin jelas menunjukkan tiada kerjasama dan persefahaman dalam PH.

Menurutnya, ia diluluskan berikutan ketidakhadiran 13 Ahli Parlimen pembangkang untuk melakukan undi tidak bersetuju terhadap Belanjawan 2021 berkenaan.
 
"Perkembangan yang berlaku semalam menunjukkan pembangkang sekarang tak benar-benar berada di dalam satu kerjasama dan persefahaman yang memungkinkan mereka dapat menyaingi kerajaan.

"Umum banyak mengatakan, kerajaan pada hari ini mempunyai sokongan yang tipis majoritinya.

"Perkembangan semalam juga menunjukkan bahawa di kalangan pembangkang sendiri terdapat pandangan yang berbeza, khususnya kenyataan yang telah dibuat oleh Parti Warisan Sabah.

"Mereka mengatakan mereka sengaja tidak hadir pada perbahasan yang menyaksikan RUU di peringkat Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan diluluskan.

"Umum lihat keadaan ini menunjukkan PH berada dalam situasi lemah sejak gabungan ini memenangi PRU14 pada 2018 lalu," kata Mazlan kepada Astro AWANI melalui Skype hari ini.

BACA: Pembangkang akan serang, geledah, sanggah di peringkat jawatankuasa - Anwar 

Portal Malaysiakini melaporkan, Ketua Whip Warisan Rozman Isli berkata, Ahli Parlimen Warisan sepakat tidak hadir pada sesi perbahasan dan pengundian Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa semalam.

Katanya, mereka sengaja tidak hadir kerana kecewa dengan kepimpinan Presiden PH Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pembangkang tidak sepakat ketika menentukan Belanjawan 2021 di peringkat dasar minggu lalu.

Mazlan berkata, kebanyakan Ahli Parlimen pembangkang berasa kesal dengan apa yang berlaku pada Khamis lalu sehingga RUU Perbekalan 2021 diluluskan pada peringkat dasar.

Mereka mendakwa tidak mendapat maklumat tepat atau lewat menerima maklumat.

Susulan itu, mereka mungkin tidak berpuas hati dan ia ditunjukkan melalui ketidakhadiran semasa perbahasan peringkat jawatankuasa pada Isnin.

“Justeru, Anwar perlu menilai semula kedudukan gabungan parti berkenaan bagi memastikan ia dapat menyaingi kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan masih utuh setakat ini,” ujar Mazlan.

Peruntukan bagi JPM dan Kementerian Kewangan dalam Belanjawan 2021 lulus di peringkat jawatankuasa pada Isnin, selepas undi belah bahagian yang dijalankan menyaksikan lebih 100 Ahli Parlimen menyokong, berbanding 95 yang tidak bersetuju.