HULU SELANGOR: Tidak perlu ada Memorandum Persefahaman (MoU), jika Kerajaan Perpaduan ikhlas untuk memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, keputusan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan adalah ‘mempertimbangkan’ bagi penyaluran peruntukan.

“Kabinet (dalam kenyataan menyatakan) bersetuju untuk menimbang (bagi peruntukan), kalau bersetuju… itu lain. Yang kedua, ada MoU. Kalau dia ikhlas, dia tak payah buat MoU.

“Saya tak nak cakap pada zaman saya. Waktu COVID-19, kami bagi peruntukan kepada mereka (pembangkang). Mereka tak mohon… tak ada MoU atau perjanjian apa-apa.

“Ini kerana ketika itu zaman susah dan wakil rakyat bertanggungjawab meringankan beban,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang turut dihadiri pimpinan tertingggi parti dan ribuan pengunjung.

Jelas Muhyiddin lagi, pembangkang setakat ini belum lagi melihat kandungan draf MoU.

Justeru, beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, pihaknya akan menilai terlebih dahulu jika ada sebarang syarat, agar ia tidak mengikat wakil rakyat pembangkang.

“Kita belum tengok MoU. Apa kandungan dan kalau kita (kerajaan) bagi peruntukan, syaratnya adalah begini dan akhirnya mengikat kita… kita tak bodoh walaupun kita mahukan peruntukan,” tambah beliau.

Pada 18 April lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan bagi menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, satu draf MoU akan dirangka terlebih dahulu dan akan dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah untuk perundingan seterusnya.