Memperlahankan pembangunan fizikal di Kelantan tidak seharusnya dilakukan bahkan rakyat keseluruhannya tidak mahu negerinya terkebelakang berbanding negeri lain.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengakui pembangunan negeri itu agak terkebelakang dan sengaja dilambatkan di lihat merugikan rakyat Kelantan sendiri.

Katanya menjadi hasrat Kerajaan Persekutuan membangunkan Kelantan seiring dengan negeri lain supaya rakyat dapat menikmati pembangunan seimbang.

“Sikap dan pemikiran mereka (Kerajaan PAS) itu tidak selari dengan rakyat Kelantan di mana rakyat mahu mara ke depan selain mahu mengatasi negeri lain.

“Ini menunjukkan sikap tidak serius Kerajaan Kelantan dan rakyat harus ketahaui ini bukan caranya sekaligus perlu menolak pemimpin seumpama ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Bersama Warga Jabatan Pendidikan Kelantan di sini hari ini.


Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan menegaskan rakyat perlu bijak memilih dan menolak tafsiran seumpama itu.

Sebelum ini Mohd Amar berkata berkata, kerajaan negeri mempunyai pendekatan tersendiri dalam menggerakkan pembangunan berbeza daripada negeri lain.

Beliau mengakui pembangunan fizikal negeri kelantan sengaja dilambatkan supaya ianya dapat dinikmati oleh rakyat.