Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mencadangkan penubuhan Majlis Ukhuwah Islamiah Negara (MUIN) sebagai solusi kepada polemik politik Islam dalam negara ini.

Beliau berkata memorandum cadangan penubuhan MUIN akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam atau kepada Majlis Raja-Raja Melayu, kira-kira tiga minggu selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Memorandum ini hampir siap dan ia mengandungi sebab dan hujah kenapa Majlis Raja-Raja Melayu perlu mengambil inisiatif untuk mewujudkan MUIN memandangkan Agong merupakan ketua agama dalam negara ini.

"Dalam memorandum ini juga kita akan memberi hujah mengenai perkembangan semasa dan sebelum ini, termasuk perkara-perkara berbangkit mengenai perpecahan dalam kalangan umat Islam yang dilihat tiada jalan untuk menemui titik persefahaman," tambahnya.

Ibrahim berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Perkasa Malaysia di Kompleks Damai di sini, pada Sabtu.

Jelasnya sempena perayaan Aidilfitri, beliau berharap umat Islam dalam negara ini dapat terus memperkasakan silaturrahim.

"Pegang teguh kepada ajaran Allah. Jangan cerai-berai. Walau apapun perbezaan pendapat antara parti atau dalam parti, selagi ia beragama Islam, tidak wajar pertelingkahan itu dibawa kepada satu permusuhan, sehingga kita tidak tegur-menegur.

"Saya harap kita kembali kepada ajaran Allah, dengan memperkukuhkan silaturrahim antara kita dan membina kesatuan fikiran bersama-sama," tambahnya.