SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor perlu menawan semula kerajaan negeri itu selepas merasai keperitan menjadi pembangkang selama tiga penggal.

Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar berkata keadaan bertambah sukar apabila gabungan politik itu gagal membentuk dan menjadi Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana tiada peruntukan untuk membantu rakyat disalurkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.

"Sebelum ini, walaupun kita pembangkang dalam kerajaan negeri, di Pusat kita berkuasa. ADUN kita tidak dapat peruntukan (di negeri), Pusat bagi peruntukan kepada ADUN kita. Jadi kita tidak berapa nak merasa jadi pembangkang.

"Tetapi apabila kita kalah di Pusat dan negeri, baru kita rasa betapa pahitnya menjadi pembangkang. Maka hari ini, kita datang konvensyen ini dengan harapan kita akan bangkit semula dan kita ada peluang cerah untuk memenangi semula Selangor dalam PRU15," katanya ketika berucap di Konvensyen BN Selangor 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata ahli parti komponen BN juga perlu ikhlas dalam meneruskan perjuangan kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk memperoleh kemenangan.

"Kalau kita ikhlas dalam perjuangan, bersatu serta berpegang pada cogan kata iaitu kesepaduan dan kestabilan, insya-Allah kita akan terus bangkit dan akan ada peluang menang dalam PRU akan datang," katanya.

Noh turut menyeru ahli parti membuang segala tanggapan buruk dan dakwaan mengenai kewujudan sesetengah kluster dalam komponen itu supaya mereka dapat bersama-sama bekerja bagi memenangkan BN.

"Tolong jangan ada anggapan buruk. Matlamat kita satu, BN mesti menang dalam PRU15," katanya.

-- BERNAMA